BANGI – Kerajaan terpaksa menanggung peruntukan tambahan sebanyak RM600 juta bagi Bantuan Prihatin Nasional (BNP) bagi pengagihan bulan Mei ini.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. kini peruntukan untuk BNP meningkat kepada RM10.68 bilion berbanding RM10 bilion pada perunyukan asal.
“Kalau dari segi peruntukan, kena ambil peruntukan tambahan kerana kita bajet adalah RM10 bilion. Kita kena adil dan permohonan yang layak harus dibayar, sekiranya ada yang memenuhi kriteria kita kena bayar,” katanya kepada media selepas merasmikan Sistem Geran Khas Prihatin di Menara Hasil Bangi, hari ini.
Mengulas lanjut, Zafrul berkata, peruntukan tambahan itu direkodkan apabila kerajaan meluluskan 2.05 juta permohonan baru dan rayuan bagi BPN.
“(Sebanyak) 2.05 juta permohonan baru dan rayuan telah diluluskan. Ini adalah implikasi kewangan kepada kerajaan sebanyak RM1.51 bilion. Ini adalah lebihan untuk 2.05 juta permohonan baharu,” jelas Zafrul.
Kementerian Kewangan sebelum ini berkata kerajaan akan membuat pembayaran fasa kedua untuk kesemua penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) mulai 4 Mei ini.
Ia termasuklah golongan B40 dan M40, sama ada isi rumah atau individu bujang.
Bagi pembayaran fasa pertama BPN, sebanyak 7.74 juta penerima telah menerima bayaran BPN berjumlah RM5.47 bilion.
Malah proses bayaran tunai bagi mereka yang tiada akaun bank telah bermula sejak 17 April lalu dan berjalan lancar dengan lebih 157,000 menerima bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.
Dalam pada itu, kerajaan akan memberikan bantuan kewangan secara one-off menerusi Geran Khas Prihatin (GKP) berjumlah RM3,000 kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan.
Permohonan GKP akan dibuka mulai 1 Mei hingga 15 Mei ini manakala pembayaran akan dikreditkan ke akaun pemohon yang layak pada bulan Jun.
“Penerimanya akan menerima RM3,000 untuk satu geram. Dan sasaran adalah 700,000 dan jumlah geran RM2.1 bilion,” katanya lagi.
Zafrul berkata permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal GKP iaitu gkp.hasil.gov.my yang telah disediakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Permohonan secara manual tidak akan diterima. -MalaysiaGazette