Home Dunia Singapura catat kematian ke-16

Singapura catat kematian ke-16

SINGAPURA – Singapura yang pada Jumaat mengesahkan 932 kes baru jangkitan COVID-19, melaporkan satu lagi kematian menjadikan keseluruhannya kepada 16.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi, Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) menyatakan pesakit yang dilabelkan sebagai kes 2728, meninggal dunia pada 1 Mei di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan.

Menurut Kementerian itu, warga Singapura berusia 60 tahun itu yang disahkan dijangkiti COVID-19 pada 13 April, mempunyai sejarah penyakit hipertensi dan ‘hyperlipidaemia’.

Singapura mencatatkan dua kematian pertama mereka pada 21 Mac.

Sehingga kini, 1,268 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau fasiliti isolasi komuniti, manakala 23 berada di unit rawatan rapi (ICU).

Sebuah media tempatan melaporkan, antara 24 pesakit yang dibenarkan pulang pada 1 Mei adalah pesakit berusia 102 tahun, menjadi pesakit yang pulih tertua di Singapura.

Sementara itu, dua rakyat Malaysia daripada sektor kesihatan awam merupakan antara dua kes positif baru yang dilaporkan di Singapura.

Dilabelkan sebagai Kes 15259 dan Kes 15700 MOH menyatakan, mereka berdua tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara atau wilayah terjejas.

Pesakit berusia 28 dan 24 tahun itu bekerja sebagai ‘housekeepers’ di National University Hospital (NUH) dan pada hari yang sama disahkan dijangkiti COVID-19 pada 28 April.

Kes 15259 yang kini berada di wad di NUH telah pergi kerja sebelum di masukkan ke wad, manakala Kes 15700 kini di Singapore General Hospital telah tidak bekerja sejak menunjukkan simptom, menurut kementerian itu.

Daripada 932 kes baru pada Jumaat, tiada kes import dilaporkan, 11 kes komuniti, 16 kes pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama pekerja, manakala 905 melibatkan pekerja yang menghuni asrama pekerja asing.- BERNAMA