Home Pendapat Tanpa penguatkuasaan ketat, PKP bersyarat tidak bawa sebarang makna

Tanpa penguatkuasaan ketat, PKP bersyarat tidak bawa sebarang makna

Anggota tentera membuat kawalan keselamatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang Baru, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020

Oleh Dr. Muzaffar Syah Mallow

PROSES penguatkuasaan yang ketat dan serius perlu dilakukan sekiranya pihak kerajaan ingin melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP Bersyarat) bermula 4 Mei ini dalam negara.

Tanpa adanya proses penguatkuasaan yang ketat dan serius terhadap perkara ini segala usaha yang telah, sedang dan bakal diambil bagi membendung penularan Novel Koronavirus (COVID-19) dalam negara kita menjadi sia–sia.

Putrajaya semalam mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat untuk meringankan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikuatkuasakan dalam negara kita semenjak 18 Mac yang lalu.

YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu perutusan khas sempena Hari Pekerja pada 1 Mei berkata hampir semua kegiatan ekonomi dan sosial akan dibenarkan beroperasi dengan bersyarat bermula 4 Mei.

Katanya, langkah ini penting kerana perniagaan dan pekerjaan merupakan sumber pendapatan, dan sekiranya sekatan ketat berpanjangan, ia akan menjejaskan keadaan kewangan.

Walaupun kelonggaran diberikan untuk beberapa sektor ekonomi dan pekerjaan dalam negara kita untuk beroperasi, mereka akan tertakluk kepada beberapa syarat. Antara syarat–syarat yang dinyata oleh beliau adalah mana–mana kegiatan yang melibatkan himpunan orang ramai seperti panggung wayang dan bazar, atau kegiatan kontak rapat seperti bola sepak dan rugbi tidak dibenarkan dan sekolah serta institusi pengajian tinggi masih ditutup dan perjalanan merentas negeri tetap tidak dibenarkan kecuali untuk urusan kerja.

Pengendali restoran pula boleh menerima pelanggan tetapi hanya 1 hingga 3 orang dibenarkan berkongsi meja, dan penjarakkan sosial masih berkuatkuasa di kaunter juruwang. Prose pensanitasi dan sabun di sinki mesti disediakan, mengimbas suhu badan pelanggan disarankan, dan kakitangan mesti memakai topeng sepanjang masa.

YAB Perdana Menteri juga menyeru pihak majikan untuk membenarkan kakitangan bekerja dari rumah dan membolehkan suami dan isteri bekerja secara bergilir. Semua syarat yang dinyatakan ini adalah bagi membendung penularan COVID-19 dalam negara kita.

Walaupun kes jangkitan COVID-19 dilihat semakin menurun dalam negara kita semenjak kebelakangan ini, pihak kerajaan harus ketahui bahawa serangan jangkitan COVID-19 ini masih belum reda lagi diserata dunia. Negara jiran kita seperti Singapura dan Indonesia juga masih melaporkan jumlah jangkitan COVID-19 yang tinggi setiap hari.

Selagi vaksin khas belum ditemui bagi mengubati COVID-19 ini, pihak kerajaan perlu mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan kesihatan dan keselamatan orang ramai dapat dilindungi sepenuhnya dalam negara kita. COVID-19 adalah virus yang amat bahaya dan mudah berjangkit sekiranya tiada langkah ketat diambil bagi membendung penularannya.

Untuk rekod, lebih tiga juta orang diserata dunia telah dijangkiti dengan virus berkenaan dan lebih dua ratus ribu orang maut akibat daripada jangkitan dengan virus terbabit diserata dunia.

Persoalannya kini, adakah pihak kerajaan mampu memastikan semua syarat–syarat yang telah dinyatakan melalui perintah kawalan pergerakkan bersyarat berkenaan dapat dipatuhi dengan sepenuhnya oleh pihak–pihak yang berkaitan dalam negara kita?

Terdapat beribu–ribu tempat perniagaan serta berjuta orang yang bakal bergerak ke sana ke sini setelah perintah kawalan pergerakan bersyarat yang baru ini dilaksanakan kelak. Pihak berkuasa sedia ada dalam negara kita perlu memastikan semua pihak yang berkaitan mematuhi segala syarat yang telah dinyatakan oleh pihak kerajaan.

Pemeriksaan mengejut perlu diadakan pada setiap masa disetiap tempat kerja bagi memastikan tiada pihak yang memandang mudah terhadap segala garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan khususnya oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pihak kerajaan juga perlu sentiasa mengingatkan pihak majikan supaya memberi ruang dan peluang yang sepenuhnya kepada pekerja mereka untuk berkerja dari rumah serta melaksanakan sistem kerja anjal atau secara fleksibel tanpa perlu hadir ke tempat kerja.

Pihak kerajaan perlu juga menyediakan satu bentuk saluran mudah, cepat dan berkesan bagi orang ramai yang ingin melaporkan sebarang ketidakpatuhan terhadap perintah kawalan pergerakan bersyarat berkenaan.

Tindakan undang–undang yang keras juga perlu diambil termasuk tindakan di bawah peruntukan undang–undang jenayah terhadap mana–mana pihak tanpa mengira status dan latar belakang mereka termasuk terhadap para majikan yang didapati berdegil melanggar mana-mana syarat yang telah diberikan melalui perintah kawalan pergerakan bersyarat yang ingin dilaksanakan.

Muzaffar Syah Mallow

— Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

1 Komen

  1. Ya! Saya amat menyokong pendapat dr muzaffar ini 100%!!
    Pm sepatutnya jgn memandang rendah perkara ini,semua akan menjadi sia2 jika keadaan berlaku seperti negara lain sperti sebelum2 ini akibat memberi kelonggaran terlalu cepat kpd kawalan pergerakan.

Comments are closed.