LONDON – Penyerang Manchester City, Sergio Aguero percaya kebanyakan pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) masih takut untuk menyambung semula baki saingan liga musim ini dalam keadaaan wabak Covid-19 yang semakin serius.
Jelas pemain antarabangsa Argentina itu, tindakan tersebut meletakkan keluarga pemain dalam keadaan risiko sekiranya mereka perlu kembali menjalani latihan dan beraksi di atas padang.
“Majoriti pemain takut kerana mereka ada keluarga, mereka ada anak-anak.
“Bila kita kembali (bermain), saya membayangkan semua pemain akan merasa tekanan, kami akan terlalu berhati-hati apabila ada orang yang tiba-tiba jatuh sakit. Ia agak merisaukan saya,” katanya kepada rancangan televisyen El Chiringuito.
Semua kelab EPL akan bermesyuarat pada hari ini untuk membincangkan perancangan untuk kembali menyambung latihan dan menamatkan saingan musim ini tetapi Aguero percaya virus tersebut berisiko untuk menjangkiti pemain sehinggalah vaksin berjaya dihasilkan.
Sebelum ini pemain pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger juga telah mempersoalkan, dari segi moral wajarkah untuk kembali menyambung liga musim ini ketika kes kematian di seluruh dunia masih terus meningkat. – MalaysiaGazette