KUALA LUMPUR – Agrobank hari ini mengumumkan pihaknya tidak akan mengenakan caj
keuntungan tambahan ke atas pembiayaan untuk semua pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak dalam tempoh moratorium automatik enam bulan.
Ini adalah berikutan daripada pengumuman oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 30 April lalu yang mana pembiayaan Islam dengan kadar tetap berkemungkinan dikenakan caj keuntungan tambahan setelah tempoh moratorium selama enam bulan yang berkuat kuasa dari 1 April hingga 30 September tahun ini.
“Agrobank komited untuk meringankan beban pelanggan kami pada masa sukar ini,” kata Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar.
Oleh itu, bagi pelanggan pembiayaan kadar tetap kami terutama pelanggan pembiayaan mikro, tidak akan ada sebarang perubahan dalam jumlah tertunggak dan keuntungan semasa yang perlu ditanggung oleh pelanggan kami.
“Pelanggan hanya perlu membayar jumlah pembayaran bulanan yang sama mulai Oktober 2020 dan seterusnya, tetapi tempoh pembiayaan akan dipanjangkan sehingga enam bulan lagi daripada tempoh pembiayaan asal untuk menampung tempoh penangguhan enam bulan sepanjang moratorium automatik,” tambah Khadijah.
Agrobank berharap pengumuman itu dapat memberikan pelanggan mereka lebih kelegaan
daripada beban kewangan mereka dan sekaligus membantu mereka menghadapi cabaran lain yang mungkin sedang mereka hadapi.
“Pandemik Covid-19 adalah satu keadaan yang tidak dijangka yang telah memberi kesan
kepada perniagaan termasuk industri pertanian terutamanya kepada perniagaan kecil dan mikro.
“Langkah ini akan memberi banyak kelebihan kepada pelanggan pembiayaan mikro kami.
Agrobank komited untuk terus menyokong pelanggan kami dalam memperkukuhkan perniagaan mereka terutamanya pada masa sukar ini,” katanya lagi.
Agrobank juga turut menekankan bahawa penangguhan pembayaran masih secara automatik untuk pelanggannya dan tidak ada sebarang langkah tambahan yang perlu dilakukan untuk membolehkan pelanggan menikmati kemudahan moratorium automatik.
Bagaimanapun, bagi pelanggan yang tidak mahu mengambil moratorium masih boleh
memilih untuk melakukannya pada masa ini dengan mengisi borang di
www.agrobank.com.my/no-mora dan meneruskan pembayaran berjadual mereka berdasarkan syarat perjanjian yang ada.- MalaysiaGazette