KUALA LUMPUR – Sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah membenarkan hampir semua sektor ekonomi beroperasi, sumber pendapatan negara akan menyusut dan kebanyakan perniagaan terpaksa ditutup.
Pertumbuhan ekonomi akan terencat dan pendapatan perniagaan dan
individu juga akan terjejas, kata Menteri Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Justeru pihaknya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi mulai hari Isnin ini.
“Keputusan kerajaan akan memberi impak positif kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Pembukaan sektor-sektor ekonomi akan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan langsung asing dan tempatan, menjana prospek eksport serta kelangsungan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk kemampanan pekerjaan.
“Kerajaan membuat keputusan ini dengan penuh teliti, berhati-hati dan
bertanggungjawab. Kerajaan telah memberi pertimbangan yang terperinci
berdasarkan kepada data dan kajian yang dibentangkan berkaitan dengan situasi
kesihatan serta kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan mengambil kira perkembangan kesihatan dan keperluan menjana semula ekonomi, kerajaan, kata Mohamed Azmin telah melaksanakan langkah-langkah pembukaan ekonomi secara berperingkat mulai 18 Mac hingga 28 April di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 1 hingga 3 dengan pematuhan syarat-syarat kesihatan di dalam Prosidur Operasi Standard (SOP).
Tindakan yang teliti dan berhati-hati ini telah menunjukkan hasil yang baik khususnya dalam aspek penambahan sektor ekonomi yang dibuka
dan pada masa yang sama, tidak menjejaskan usaha Kerajaan dalam membendung penularan Covid-19.
“Mengambilkira keberkesanan memerangi wabak Covid-19, kini tiba masanya untuk memberi fokus menyeluruh dalam memulakan (restarting) dan merangsang semula sektor ekonomi negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemampanan ekonomi,” katanya.- MalaysiaGazette