Home Dunia Rusuhan di penjara, lebih 40 maut

Rusuhan di penjara, lebih 40 maut

CARACAS – Lebih daripada 40 orang terbunuh setelah rusuhan berlaku di sebuah penjara di Venezuela.

Tahanan di penjara Los Llanos, dekat bandar Guanare barat, didakwa mengamuk kerana kekurangan makanan dan air, menurut Observatorium Penjara Venezuela.

Organisasi tersebut menuntut siasatan dijalankan selepas melahirkan rasa ragu-ragu dengan dakwaan kononnya rusuhan tersebut dicetuskan oleh banduan.

Kakitangan penjara termasuk gabenor cedera dalam kejadian itu.

Menteri Penjara, Iris Varela mengesahkan kejadian itu kepada sebuah media tetapi tidak menyatakan angka korban.

Menurut laporan tersebut, rusuhan itu digambarkan sebagai percubaan melarikan diri.

Kerusuhan di penjara yang tidak bersih dan penuh sesak di Amerika Latin semakin meningkat ketika pemerintah memperkenalkan langkah-langkah kuarantin dalam kalangan banduan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Langkah-langkah itu bermakna tahanan tidak dapat menerima makanan yang dibawa oleh saudara-mara dan perlu bergantung kepada penjara.

Observatorium, mendakwa seramai 46 tahanan telah meninggal dunia dan jabatan kecemasan hospital tempatan pula menerima sejumlah besar pesakit yang cedera.

Anggota Majlis Nasional Pembangkang, Maria Beatriz Martinez, menerusi Twitter menyifatkan kejadian itu sebagai “pembunuhan beramai-ramai” dan mengatakan saudara-mara dimaklumkan bahawa ahli-ahli keluarga mereka yang terlibat akan dikebumikan dalam kubur besar.

Selain mengalami pandemik koronavirus, Venezuela dilanda krisis politik apabila dua ahli politik mengaku sebagai pemimpin negara yang sah.

Di bawah Presiden Nicolás Maduro, ekonomi Venezuela telah runtuh dan kekurangan komoditi asas semakin berleluasa.

Akibatnya, berjuta-juta orang telah melarikan diri ke negara jiran. – MalaysiaGazette