SEMUA sektor tempat kerja yang ada dalam negara perlu
menilai semula semua sasaran kerja mereka serta menilai
semula tahap prestasi yang perlu dipenuhi oleh setiap
pekerja mereka untuk seluruh tahun 2020 ini dengan
mengambil kira keadaan semasa luar jangka yang sedang
dihadapi pada ketika ini. Segala sasaran kerja serta tahap
prestasi yang perlu dipenuhi oleh setiap pekerja yang telah
dirangka pada tahun yang lalu untuk digunapakai pada
tahun ini sama ada di sektor awam atau pun sektor swasta
tidak lagi boleh dipakai akibat daripada penularan Novel
koronavirus (Covid-19) di serata dunia termasuklah dalam
Malaysia.
Penularan Covid-19 yang boleh membawa maut ini telah membawa perubahan drastik terhadap kehidupan semua pihak termasuk kehidupan para pekerja. Banyak aktiviti harian serta kerja yang terpaksa ditangguh dan dibatalkan sepenuhnya bagi membendung penularan virus berkenaan. Kerajaan di seluruh dunia juga termasuk Malaysia telah pun melaksanakan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan virus berbahaya terbabit. Sama ada kita suka ataupun tidak, corak kehidupan kita sekarang sudah berubah sepenuhnya dimana ramai pihak yang tidak dapat melakukan tugasan seperti yang biasa dilakukan
sebelum ini. Walaupun ada tempat kerja yang menyarankan
kakitangannya untuk bekerja dari rumah dan menggunakan
teknologi komunikasi moden, tidak semua tempat kerja yang
mampu menggunakan sistem teknologi komunikasi moden
dengan sepenuhnya atas faktor – faktor tertentu. Hasil kerja
yang dilaksanakan melalui penggunaan teknologi komunikasi
moden ini juga tidak dapat saingi dan mencapai tahap
keberkesanan dan mutu kualiti hasil kerja seperti penggunaan
sistem kerja secara konvensional dengan berada di tempat
kerja seperti yang biasa diamalkan oleh para pekerja dalam
negara kita buat sekian lama. Memandangkan kita tidak dapat memenuhi tahap keberkesanan dan mutu kualiti hasil kerja seperti biasa yang dilakukan pada tahun- tahun sebelum ini, adalah ingin dicadangkan supaya supaya setiap tempat kerja yang ada dalam negara kita untuk melihat semula sasaran kerja yang telah disasarkan di tempat kerja masing-masing serta
menilai semula tahap prestasi yang perlu dipenuhi oleh setiap pekerja mereka sepanjang tahun 2020 ini. Adalah mustahil untuk para pekerja memenuhi segala segala sasaran kerja seperti yang telah dirangka serta memenuhi tahap prestasi akibat daripada penularan Covid-19.
Terdapat dua jenis sasaran kerja yang selalu digunapakai
oleh para majikan dalam negara iaitu melalui sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan sistem e-Prestasi. Sistem Petunjuk Prestasi Utama atau dalam Bahasa Inggerisnya lebih dikenali sebagai Key Performance Indicator (KPI) adalah satu sistem penilaian berkaitan dengan pencapaian sesebuah organisasi serta individu pekerja. Ianya selalunya dirangka pada awal tahun oleh
pihak pentadbiran organisasi untuk difahami dan yang paling
penting dipenuhi oleh setiap kakitangan pekerja mereka
dalam tempoh waktu yang telah ditetapkan didalam petunjuk
KPI berkenaan.
Buat sekian lama dalam negara kita pihak kerajaan telah banyak kali menyarankankan sektor-sektor kerja mengunapakai budaya kerja yang berasaskan prestasi dengan menggunakan petunjuk – petunjuk prestasi utama ataupun KPI ini. Sejajar dengan visi, misi dan fungsi setiap organisasi tempat kerja, setiap organisasi tempat kerja perlu mengukur tahap prestasi perkhidmatan yang diberikan oleh mereka bagi memastikan semua perkhidmatan berkenaan dapat disalurkan kepada pihak pelanggan dengan baik.
Penggunaan KPI ini secara tidak langsung dapat memberikan
gambaran yang jelas mengenai tahap prestasi organisasi secara keseluruhannya serta tahap keupayaan setiap pekerja mereka. Usaha tambah baik juga dapat dilakukan dengan mudah dengan melihat dan menilai semula sasaran yang tidak dapat dipenuhi di dalam KPI terbabit. Selain daripada penggunaan KPI, kita juga memiliki proses penilaian berasaskan e-prestasi. Proses penilaian e-prestasi ini adalah satu jenis proses penilaian prestasi setiap pekerja yang dinilai pada setiap tahun untuk diketahui tahap prestasi pekerja terbabit yang bekerja di sesebuah tempat kerja.
Banyak tugasan yang telah ditetapkan dan perlu dipenuhi
oleh pihak pekerja sepanjang perkhidmatan mereka melalui
proses e-prestasi ini.
Terdapat juga sistem pemarkahan tertentu yang perlu dipenuhi oleh setiap pekerja ini melalui sistem e-prestasi ini. Sekiranya pekerja terbabit gagal memenuhi tahap pemarkahan tertentu seperti yang telah ditetapkan oleh pihak majikan di tempat kerja mereka, pekerja terbabit boleh dikenakan tindakan disiplin ataupun hukuman seperti penafian untuk kenaikan tangga gaji
tahunan dan lain-lain lagi. Memandangkan penularan Covid-19 sudah pun menganggu segala aktiviti dan tugasan harian para pekerja dalam negara kita serta suasana ketidaktentuan pada masa kini akibat daripada penularan Covid-19 ini, adalah wajar sekiranya semua pihak majikan dalam negara kita untuk
melihat dan menilai semula terhadap semua sasaran kerja
yang telah ditetapkan serta tahap prestasi yang diharapkan
untuk dipenuhi oleh setiap pekerja mereka. Sasaran kerja
serta tahap prestasi setiap pekerja tidak boleh lagi dinilai
pada tahun ini mengikut cara-cara yang telah dilakukan
sebelum ini.
Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)