Home Nasional Demi keselamatan, McD tak benarkan dine-in

Demi keselamatan, McD tak benarkan dine-in

KUALA LUMPUR – Rangkaian restoran makanan segera, McDonald’s tetap tidak membenarkan pelanggan makan di dalam premisnya (dine-in) walaupun kelonggaran telah diberikan kerajaan bermula esok.

Dalam satu kenyataan, restoran tersebut berkata, perkhidmatan penghantaran McDelivery, pandu-lalu dan bungkus akan diteruskan seperti biasa bermula jam 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.

“Kepada pelanggan yang dikasihi,

“Kami masih tidak boleh menerima anda menikmati makanan di dalam premis kami kerana keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan syarikat.

“Anda boleh menikmati makanan McD kegemaran menerusi perkhidmatan yang kami tawarkan iaitu McDelivery, pandu-lalu dan bungkus, jam 8 pagi hingga 10 malam pada setiap hari bermula 4 Mei ini sehingga seterusnya. #SafeWithMekdi” katanya.

Bermula esok, kedai makan dan restoran sudah dibenarkan untuk menerima pelanggan makan di dalam premis (dine-in) tetapi perlu akur dengan syarat-syarat ketat yang telah ditetapkan kerajaan.

Antaranya susunan kerusi dan meja yang mematuhi penjarakan sosial, sanitasi meja dan kerusi setiap kali pelanggan habis makan dan mengambil butiran peribadi pelanggan seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat bagi memudahkan penjejakan kontak sekiranya berlaku kes positif Covid-19 di premis berkenaan.- MalaysiaGazette