SEREMBAN- Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan orang ramai masih tidak dibenarkan makan di restoran, kedai makan dan premis makan berlesen dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat sehingga 12 Mei ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kaedah pembelian yang dibenarkan adalah secara dibawa pulang, perkhidmatan penghantaran dan pandu lalu sahaja dan syarat itu turut terpakai bagi trak makanan.
“Kerajaan Negeri Sembilan pada dasarnya bersetuju dengan saranan untuk melonggarkan PKP fasa keempat seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai tatacara kawalan serta pengoperasian sektor yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Namun begitu, memandangkan kes baharu COVID-19 di Negeri Sembilan masih terus berlaku dan bagi memastikan kes baharu dapat dikawal, kerajaan Negeri Sembilan mengambil keputusan iaitu hanya sektor ekonomi yang dibenarkan sahaja yang boleh beroperasi dalam PKPB manakala sektor sosial dan aktiviti sukan tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Besar Seremban di sini, hari ini.
Aminuddin berkata, bagi kawasan yang mempunyai kes positif COVID-19 yang baharu dan tinggi seperti beberapa taman perumahan di Sendayan, kedai sekitar Pasar Besar Seremban, serta Pasar Bahau, operasi sektor ekonomi yang dibenarkan di dalam PKPB adalah tidak dibenarkan tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan.
“Syarikat atau premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi wajib mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Sekiranya terdapat mana-mana syarikat atau premis perniagaan yang melanggar SOP yang ditetapkan, premis tersebut tidak dibenarkan beroperasi oleh pihak berkuasa.
“Langkah ini diambil kerana kerajaan negeri percaya perjuangan kita belum berakhir sepenuhnya untuk melenyapkan COVID-19 berdasarkan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19,” katanya.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan mengkaji tatacara itu dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan terkini berkaitan penularan COVID-19. – Bernama