Home Nasional Restoran mamak sedia terima pengunjung, esok

Restoran mamak sedia terima pengunjung, esok

Pengurus Restoran Ali Maju Cafe, Mohamad Salim (kiri) menampal pelekat di atas meja bagi membuat persediaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok di Restoran Ali Maju Cafe, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Orang ramai sudah pastinya tidak sabar menanti detik 4 Mei 2020 atau Isnin ini yang mana pelbagai kelonggaran diberikan kerajaan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Apa tidaknya apabila semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi semula tetapi secara terkawal, lebih-lebih lagi restoran dan kedai makan.

Orang ramai boleh menarik nafas lega kerana mereka dibenarkan menjamu selera di premis kedai makan, lebih-lebih lagi peminat tegar restoran mamak.

Bagi menyambut kehadiran peminat tegar teh tarik dan nasi briyani, sudah pastinya pengusaha restoran perlu membuat persediaan.

Pekerja mengukur jarak antara meja bagi membuat persediaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok di Restoran Ali Maju Cafe, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 MEI 2020

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini ke restoran Ali Maju Cafe yang terletak berdekatan pintu 2 Istana Negara di Bukit Damansara mendapati kakitangan restoran terbabit mula membuat tandaan di meja dan kerusi.

Langkah itu bagi memastikan pelanggan yang ingin menikmati juadah di premis itu mengamalkan penjarakkan sosial sejauh satu meter, di mana sebuah meja hanya untuk kegunaan dua pengunjung sahaja.

Seorang pekerja sebuah restoran nasi kandar dilihat menyusun meja makan seperti yang disarankan oleh kerajaan iaitu sekurang-kurangnya dua meter sebagai jarak sosial seperti garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula pada 4 Mei ini semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Restoran Nasi Kandar Pelita, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 MEI 2020.

Malah sebuah meja hanya diletakkan dua buah kerusi sahaja berbanding empat kerusi sebelum pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu.

Selain itu, meja di restoran mamak itu juga disusun dengan jarak satu meter menggunakan pita pengukur agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP). – MalaysiaGazette