KUALA LUMPUR – Kematian seorang anggota polis, Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail akibat dirempuh semasa bertugas merupakan satu mimpi buruk kepada seluruh pasukan keselamatan dan penjawat awam yang bertanggungjawab menjaga keamanan pada saat krisis pandemik Covid-19 melanda negara.
Lantaran itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat menggesa siasatan terperinci dan pendakwaan kes tersebut dilakukan dengan segera sekiranya didapati berlaku kesalahan.
Hukuman yang berat dan setimpal perlu dijatuhkan jika didapati bersalah bagi memberi pengajaran kepada semua pihak agar kejadian sama tidak berulang lagi.
Allahyarham meninggal dunia selepas sebuah kenderaan merempuhnya ketika sedang bertugas di sekatan jalan raya Op Covid di Plaza Tol Kajang Selatan lebuh raya LEKAS.
Pemandu berkenaan dipercayai mabuk.
Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan badan akibat dihempap oleh Toyota Hilux itu.
Adnan berkata, Cuepacs turut menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melihat lebih mendalam isu kebajikan anggotanya yang bertugas di barisan hadapan ketika ini.
Ia susulan Cuepacs menerima pelbagai aduan terutama melibatkan isu tuntutan elaun Covid-19 sebanyak RM200 kepada anggota polis yang dikatakan terlalu banyak kerenah birokrasi.
Menurutnya, nilai RM200 itu tidak setimpal jika dibandingkan dengan keringat serta risiko yang dihadapi anggota keselamatan.
”Ada yang bertugas hampir 30 hari tanpa henti tetapi diminta mengisi pelbagai borang, kemukakan akaun bank serta meminta kelulusan daripada ketua jabatan untuk menerima elaun tersebut sedangkan semua maklumat tersebut sudah sedia ada.
”Jika dikira dengan logik akal anggota keselamatan ini hanya menerima elaun sekitar RM6 sehari sebagai tambahan keringat mereka bertugas di barisan hadapan,” katanya.
Sehubungan itu, Cuepacs sekali lagi memohon pihak terbabit memandang serius isu kebajikan anggota keselamatan yang bertugas di barisan hadapan.
”Jangalahlah kita dera emosi mereka dengan kerenah birokrasi yang dicipta sendiri, permudahkan urusan tuntutan elaun dan jagalah kebajikan wira negara kita,” tegas beliau. – MalaysiaGazette