KUALA LUMPUR- Sebanyak 316 balai bomba di seluruh negara akan membunyikan siren selama 30 saat pada tepat jam 12 tengahari ini diikuti dengan bertafakur bagi mengingati para anggotanya yang terkorban dan tercedera ketika bertugas.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, anggota bomba perlu diberi penghargaan tinggi kerana sanggup meletakkan diri dalam pelbagai situasi bahaya demi menyelamatkan nyawa dan harta benda.
Tugas mereka katanya, semakin mencabar setiap hari.
Tambah Zuraida, dalam berhadapan wabak Covid-19, anggota bomba antara wira terlibat mengetuai operasi pembasmian kuman dalam mengekang penularan Covid-19.
Sehingga kini, sebanyak 6,066 operasi sudah dilaksanakan meliputi sanitasi di tempat awam, disinfeksi kawasan titik pusat kejadian (epicenter), pemindahan awam, pemeriksaan keselamatan kebakaran stesen kuarantin, pengurusan jenazah serta lain-lain tugas.
“Bagi pihak kementerian, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga JBPM atas segala khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Jazakallahukhair (semoga Allah memberi ganjaran diakhirat kelak),” katanya dalam satu perutusan khas Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2020 hari ini.- MalaysiaGazette