Home Seni Hidup Dana Tabung MYDIN Prihatin bantu golongan kurang bernasib baik

Dana Tabung MYDIN Prihatin bantu golongan kurang bernasib baik

KUALA LUMPUR – Mydin Mohamed Holdings Berhad telah mula mengumpul dana dengan pembelian setiap produk jenama terpilih untuk disumbangkan kepada golongan sasaran terpilih bermula 13 April hingga 21 Jun 2020.

Objektif mengumpul dana tabung ini adalah untuk disumbangkan dalam program tanggungjawab sosial korporat bagi Ulang Tahun MYDIN yang ke-63 dan bagi program Kembali Ke Sekolah akan datang .

“Dana tabung tersebut bakal disumbangkan kepada golongan sasaran termasuk rumah anak-anak yatim, rumah orang tua dan juga golongan asnaf yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program ini mendapat kerjasama daripada lima syarikat pembekal berjenama iaitu Antabax, Enrico’s, Certainty, Kiara dan Lady’s Choice dan setiap belian daripada produk terpilih jenama tersebut, RM 0.10 hingga RM0.50 akan dikumpul dan disalurkan ke tabung MYDIN Prihatin.

Selain itu, setiap jumlah pembelian produk keluaran MYDIN di platform e- dagang Shopee, RM 0.10 turut akan disumbangkan ke tabung tersebut.

Dalam program MYDIN Prihatin 2019, MYDIN telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM 150,00 dan dana tersebut telah disumbangkan kepada 14 rumah kebajikan seluruh negara.

Bagi tahun ini, MYDIN yang menjalankan kempen kerjasama ini di seluruh pasar rayanya menjangkakan kutipan sebanyak RM200,00 bagi membantu golongan kurang berkemampuan terutamanya mereka yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19.

Menurut Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali
Mydin, MYDIN amat berbesar hati melihat rakan stategik kami turut sama berganding bahu bagi membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.

“Kempen ini mendapat perhatian mereka walaupun perniagaan sedang berdepan dengan situasi mencabar akibat pandemik Covid-19 ini. Semoga hasil kutipan dana tabung MYDIN Prihatin ini dapat meringankan beban golongan memerlukan dan mengukir senyuman dibibir mereka,” katanya.

Krisis pandemik Covid -19 ini telah memberi kesan global yang membimbangkan terutamanya kepada golongan yang tidak berkemampuan dan MYDIN sebagai sebuah syarikat korporat tempatan akan terus berperanan membantu mereka
yang memerlukan bagi mendapatkan keperluan meneruskan kehidupan harian seperti mereka yang bernasib baik.

Justeru itu, selain memberi pengalaman membeli-belah yang selesa, pelanggan juga berpeluang menderma kepada mereka yang memerlukan di luar sana, katanya.- MalaysiaGazette