Home Utama Hukuman mandatori penjara bagi pemandu mabuk

Hukuman mandatori penjara bagi pemandu mabuk

Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong melahirkan rasa kesal kerana masih lagi segelintir rakyat Malaysia menonjolkan sikap tidak bertanggungjawab seperti memandu dalam keadaan mabuk.

Malah apa yang lebih mengecewakannya apabila sebahagian daripada pemandu mabuk memandu dalam keadaan tidak terkawal sehingga mengakibatkan kemalangan sehingga ada antara mangsanya cedera parah dan meninggal dunia.

Kata Ka Siong, hakikatnya hukuman yang sedia ada ketika ini seolah-olah tidak begitu menakutkan segelintir daripadanya untuk terus melakukan kesalahan seperti itu malah kerap kali.

Jelasnya, kerajaan perlu meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan memandu secara berbahaya dan di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.

“Kita perlu lakukan undang-undang imembabitkan denda lebih tinggi termasuk hukuman mandatori sehingga terhadap pemandu mabuk. Ada setengah negara bertindak mendenda dan menggantung lesen untuk tempoh lama tapi rasanya itu tidak memadai malah gantung lesen sebenarnya terlalu biasa sangat.

“Sudah tiba masa untuk berlaku adil kepada mangsa, kita perlu gubal undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk kenakan hukuman lebih tegas dan setimpal.

“Dengan mengenakan denda tidak lebih daripada 10,000 dan penjara 12 bulan ini tidak cukup, perlu mandatori. Baru orang takut hendak mabuk kemudian memandu hingga hilang kawalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan awal pagi di MRT Bukit Bintang para penumpang mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini.

Ka Siong menuntut hukuman maksimum terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan nahas mengorbankan seorang anggota polis di sekatan jalan raya Op Covid-19 dekat Plaza Tol Kajang Selatan.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan itu berpunca daripada tindakan pemandu terbabit yang cuai dan dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

Mangsa, Allayarham Koperal Safwan, 31, terkorban selepas sebuah pacuan empat roda merempuh sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada jam 2.11 pagi ini.

Ka Siong juga melahirkan rasa tidak faham beliau mengapakah insiden pemandu mabuk terutama insiden hilang kawalan kerana pengaruh alkohol berlebihan sehingga mendatangkan kecederaan atau kematian.

“Ini adalah era yang mana kita sudah ada e-hailing, ada teksi. Jadi mengapa boleh memandu selepas tahu diri Itu mabuk? Inilah perbuatan yang langsung bertanggungjawab. Mereka tidak ambil serius kerana itu undang-undang perlu diperketatkan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.