Home Nasional Wujudkan undang-undang khusus penjarakan sosial

Wujudkan undang-undang khusus penjarakan sosial

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan sebuah akta khusus berhubung penjarakan sosial bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow, kerajaan tidak boleh hanya mengharapkan orang ramai untuk melakukan penjarakan secara sukarela tanpa sebarang bentuk undang-undang.

“Kewujudan peruntukan undang – undang khusus terhadap perkara ini boleh dikuatkuasakan buat sementara waktu sehingga vaksin bagi mengubati Covid-19.

“Ini bagi memastikan proses penjarakan sosial dalam negara kita dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan serius serta tindakan hukuman dapat diberikan terhadap mana – mana individu yang gagal mematuhi saranan penjarakan sosial berkenaan,” katanya.

Tambah Muzaffar, walaupun terdapat beberapa peruntukkan undang – undang yang boleh digunapakai seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], Kanun Keseksaan [Akta 574], dan lain – lain lagi, namun ia dilihat tidak mencukupi untuk memastikan orang ramai mematuhi saranan penjarakan sosial.

Ini kerana ia tidak menyatakan dengan jelas perkara berkaitan dengan proses penjarakan sosial tersebut.

Melalui peruntukan khusus undang – undang penjarakan sosial itu, kerajaan dapat merangka dengan lebih terperinci maksud penjarakan sosial itu sendiri serta jumlah jarak penjarakan sosial yang benar – benar diperlukan di semua kawasan dalam sektor tempat kerja dan perniagaan.

Ini termasuk restoran, pusat membeli belah, stesen minyak, bank, pejabat pos, sekolah, universiti serta pengangkutan awam sama ada di darat mahupun udara.- MalaysiaGazette