KUALA LUMPUR- Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan Pelan Strategik bagi tahun 2020-2022 dikenali sebagai Focus 4 bagi memacu organisasi tersebut untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Pelan tersebut telah dirangka berdasarkan hasil Kajian Semula Jangka Masa Pertengahan yang dilakukan pada tahun 2019 bagi Pelan Strategik 2017-2022 (STRIVE-15) yang dilancarkan sebelumnya ini.
Menurut Presiden dan Ketua Pgawai Eksekutifnya, Jalil Rasheed, Focus 4 yang menggariskan empat bidang tumpuan iaitu Kepelbagaian; Penciptaan Nilai; Pengurusan Risiko dan Transformasi Organisasi akan menggantikan Strive-15.
Focus 4 katanya adalah pelan transformasi dan dalam masa membuat persiapan untuk mengharungi cabaran ketidaktentuan masa depan serta perubahan lanskap pasaran.
“Bagi Focus 4 bertumpu kepada bidang-bidang berimpak tinggi yang khusus serta lebih sesuai dengan persekitaran pasaran.
“Ia tidak lagi mengenai kuantiti tetapi kualiti.
“Pendekatan jangka pendek tiga tahun ini juga memberi PNB fleksibiliti untuk menjadi lebih responsif dan mampu menyesuaikan diri untuk memanfaatkan peluang yang ada dalam keadaan masa kini yang bergerak pantas,” katanya semasa taklimat media secara maya hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi PNB Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, Focus 4 mempersiapkan firma pengurusan dana terbesar di Malaysia itu untuk mengharungi cabaran ekonomi seperti yang sedang dialami ketika ini.-MalaysiaGazette