KUALA LUMPUR – Bermula hari ini, kebenaran diberikan kepada restoran dan kedai kopi untuk menerima kunjungan pelanggan dan menjamu selera di bawah Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Tinjauan MalaysiaGazette di Little India, Brickfields mendapati beberapa restoran mula menerima kunjungan pelanggan pada pagi ini untuk bersarapan.
Di Restoran Daun Pisang Sri Paandi, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat diamalkan sejak ia mula menerima kehadiran pelanggan seawal 8 pagi untuk bersarapan.
Pemantauan di premis itu mendapati persekitaran yang bersih dengan kerusi dan meja disusun rapi dengan jarak lebih semeter dengan setiap meja dipangkah dengan pita merah untuk memastikan penjarakan sosial diamalkan.
Setiap pekerja di kedai makan itu berpakaian kemas, memakai penutup mulut dan mengendalikan menu dengan SOP yang ditetapkan.
Malahan semua pelanggan, suhu badan pelanggan diambil, tidak kira sama ada mahu menjamu selera di premis atau bungkus untuk di bawa pulang.
Selain itu nama, alamat dan nombor telefon pelanggan turut direkodkan bagi memudahkan pengesanan kontak rapat sekiranya terdapat kes Covid-19 selain masa masuk dan keluar restoran turut diambil.
Manakala di bahagian hadapan restoran disediakan 12 buah kerusi yang dijarakkan 1 meter bagi kemudahan pelanggan menunggu tempahan untuk dibawa balik.
Setiap kali selepas meninggalkan restoran setalah makan, pekerja restoran itu akan membersihkan kerusi dan meja dengan cecair nyahkuman sebelum membenarkan pelanggan lain menjamu selera.
Menurut Pengurus Restoran Daun Pisang Sri Paandi, Mohamed Farid Shabeer Ahmed, pembukaan semula restoran dalam suasana normal baharu beserta SOP bersyarat menyaksikan persekitaran yang berlainan.
Katanya, walaupun dari segi ekonomi ia akan memakan masa yang lama untuk pulih, namun pihaknya tidak berdepan masalah untuk mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan.
Malah beliau gembira dapat membantu kerajaan memastikan SOP PKPB dilaksanakan.
“Pagi tadi penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) datang memantau SOP yang dilaksanakan restoran kami untuk pelanggan yang duduk makan di premis dan mereka berpusa hati dengan tahap pelaksanaannya.
“Manakala saya dah meminta pekerja kami supaya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial sama ada ketika mengambil tempahan mahupun menyajikan makanan kepada pelanggan.
“Dan saya juga memantau pergerakan pelanggan kami supaya tidak cuai mematuhi SOP semasa berada dalam premis termasuk meninggalkan segala butiran peribadi mereka di buku log yang disediakan di depan premis khasnya waktu mereka masuk dan keluar.
“Setakat ini pelanggan tidak ramai cuma mereka masuk dua hingga tiga orang pada satu masa dan kami tiada masalah untuk memastikan mereka mematuhi penjarakan sosial dan nyahkuman dengan cecair sanitizer, mereka puas hati dengan tahap kebersihan dan keselamatan di premis supaya dapat menjamu selera dengan selamat tanpa sebarang ketakutan,” ujarnya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Seorang pelanggannya, Perunding Kewangan Insurans, Sunthar Muruganathan, 28, berkata, pemerhatiannya terhadap restoran berkenaan memuaskan dan segala SOP menepati seperti disyaratkan kerajaan.
“Saya nampak sanitizer disediakan, setiap meja makan pula ditanda dengan pangkah merah untuk memastikan penjarakan sosial wujud antara pelanggan.
“Cuma disebabkan hari pertama, saya tak lihat kebanjiran orang ramai untuk makan, sebaliknya kebanyakannya nak bungkus dan bawa balik sahaja.
“Ini saya rasa ia disebabkan mungkin ramai belum selesa dan bersedia, kita mungkin boleh melihat perkembangan normal baharu ini selepas hujung minggu ini,” ujarnya.
Pada masa sama Sunthar mengakui wujud cabaran untuk pemilik restoran memastikan pelanggan memberi kerjasama daripada segi perkongsian maklumat peribadi seperti yang disyaratkan kerajaan untuk tempoh agak lama dan ia harus diambil serius oleh semua pihak.
Bagaimanapun, oleh kerana Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP) masih terpakai dan tidak ditarik balik ketika PKPB bermula hari ini, tiga premis di kawasan sama dan di Lebuh Ampang masih belum bersedia untuk menerima kunjungan pelanggan.
Terdapat pekerja restoran mendakwa mahu tunggu dan lihat keberkesanan dan reaksi pelanggan ke atas SOP berkenaan dan hanya menawarkan pelanggan membawa pulang makanan.
Malah ada restoran yang masih lagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.
Menurut seorang penghantar makanan yang dikenali sebagai Mustaqim, 29, beliau mendapati tahap pematuhan SOP di restoran-restoran adalah memuskan.
“Saya dapat lihat ada sanitizer, pelanggan diambil suhu badan, butiran peribadi direkodkan serta penjarakan sosial di meja makan, cuma persoalan dan cabarannya sampai bila pematuhan ini akan bertahan dan boleh diterima masyarakat.
“Inilah yang perlu dipastikan secara serius selepas ini oleh setiap pengusaha makanan memastikan pelanggan mereka mematuhi normal baharu ini secara berterusan.
Sementara itu situasi sama dapat dilihat di kawasan perniagaan restoran serta kedai kopi komuniti Cina di Petaling Street dan Pudu.
Tinjauan mendapati rata-rata mereka tidak mahu terburu-buru membuka premis kepada pelanggan untuk menjamu selera walapun dilonggarkan telah diberikan bagi memulihkan ekonomi.
Beberapa kedai kopi dan restoran di sekitar kawasan Chinatown masih lengang.
Tinjauan di sebuah kedai kopi berhampiran persimpangan di Jalan Pudu dan Jalan Tun H.S.Lee mendapati pelanggan hanya dibenarkan membawa pulang makanan.
Pengurus kedai itu berusia lingkungan 50-an berkata, mereka mahu menunggu sehingga PKP tamat pada 12 Mei ini sebelum membenarkan pelanggan makan di dalam kedai.
“Kami tak mahu buka kepada pelanggan makan di sinilah, takut. Bahaya, kami mahu tunggu dan lihat sehingga habis PKP 12 Mei nanti,”katanya.
Bagaimanapun meja disusun mengikut penjarakan sosial yang digunakan pelanggan untuk pelanggan untuk menunggu makanan siap.
Senario sama dilihat di restoran nasi ayam Hainan dan kedai sup daging merah di Petaling Street, apabila premis-premis itu masih tidak membenarkan pelanggan makan di dalam premis.
Hanya beberapa pekerja dengan dibantu seorang wanita yang dipercayai penyelia restoran mengendalikan tempahan pelanggan.
Mereka yang menunggu makanan juga diminta membersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman yang disediakan di hadapan premis itu.
Ditanya sama ada pelanggan boleh masuk menjamu selera, wanita itu berkata, pelanggan masih tidak dibenarkan masuk ke dalam premis.
“Bos saya sudah bagi arahan, pelanggan tak boleh masuk dan makan di sini. Kami disuruh meneruskan pembungkusan dan bawa balik untuk setiap pelanggan.
“Kami takutlah belum bersedia benarkan pelanggan masuk dan bos saya sudah kata, kalau suruh duduk penjarakan sosial di meja makan, tulis nama, nombor telefon dan alamat selain masa masuk dan keluar restoran sangat susah.
“Pelanggan kadang-kadang tak setuju, dia mesti marah tak puas hati. Memang susah mahu laksanakan sebab ada pelanggan akan degil.
“Jika dia tak mahu bagi maklumat peribadi, tak mahu kerjasama dengan kita habislah, kita yang ambil risiko kalau ada orang kena virus maut itu. Jadi kami hanya mahu tunggu PKP 12 Mei habis dan tengok nanti keadaan macam mana,” katanya. -MalaysiaGazette