KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan Garis Panduan baharu, Guidelines on Advertising for Capital Market Products and Related Services (Garis
Panduan) untuk menggalakkan pengiklanan produk dan perkhidmatan pasaran modal secara bertanggungjawab dan mendorong penggunaan saluran digital yang lebih meluas.
Berkuat kuasa 4 Mei 2020, penerbit produk, Pengendali Pasaran yang Diiktiraf, individu yang menjalankan aktiviti yang dikawal selia dan penyedia perkhidmatan pasaran modal tidak lagi dikehendaki mengemukakan bahan-bahan pengiklanan
mereka kepada SC, dengan syarat mereka memenuhi keperluan yang ditetapkan dalam Garis Panduan tersebut.
Garis Panduan baharu ini memberi lebih kelonggaran kepada para pengiklan dalam menggunakan platform pengiklanan yang lebih meluas, termasuk media sosial, aplikasi pesanan dan perayauan video untuk mempromosi produk dan perkhidmatan mereka, kata SC.
Pengiklan adalah diingatkan agar sentiasa mengemukakan maklumat yang jelas, adil dan seimbang kepada pelabur dan memastikan bahasa dan kaedah penyampaian iklan tidak mengelirukan atau memperdaya pelabur.
Garis Panduan baharu tersebut menggantikan Garis Panduan sedia ada, Guidelines on Unit Trust Advertisements and Promotional Materials dan menggantikan klausa-klausa
tertentu di bawah Guidelines on Private Retirement Schemes, Prospectus Guidelines, dan Guidelines on Compliance Function for Fund Management Companies.
Para pengiklan yang tertakluk kepada Garis Panduan yang telah digantikan tersebut perlu memastikan iklan dan kempen promosi mereka sekarang mematuhi Garis Panduan yang baharu.
Pengiklan lain yang kini tertakluk kepada garis panduan baharu
akan diberi tempoh tangguh selama tiga bulan untuk membiasakan diri dan mematuhi Garis Panduan tersebut.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang SC https://bit.ly/3c4qN8m. Sebarang pertanyaan atau maklum balas mengenai Garis Panduan baharu tersebut boleh dikemukakan kepada [email protected]. – MalaysiaGazette