Home Nasional Rakyat diminta muat turun aplikasi MySejahtera

Rakyat diminta muat turun aplikasi MySejahtera

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia dan juga warga asing diminta supaya memuat turun aplikasi MySejahtera di telefon bimbit masing-masing serta melakukan penilaian kendiri untuk mengetahui risiko terhadap jangkitan Covid- 19 melalui aplikasi berkenaan.

Selain untuk diri sendiri, pengguna juga boleh mendaftarkan maklumat berhubung ahli keluarga yang tidak mempunyai telefon pintar di mana MySejahtera akan turut membantu menilai tahap kesihatan ahli keluarga atau individu lain yang didaftarkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Pengguna yang telah memuat turun aplikasi ini perlu mengemaskini kepada versi terbaharu bagi mendapat manfaat penuh MySejahtera.

“Aplikasi ini akan ditambah baik dengan ciri-ciri terkini dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Noor Hisham berkata, MySejahtera membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri (self-assessment) di samping membantu KKM mendapatkan maklumat awal tahap kesihatan individu untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan.

Katanya, antara fungsi MySejahtera adalah untuk mengesan hotspot ataupun hotspot tracker iaitu pengguna boleh mendapatkan maklumat kawasan hotspot kes Covid-19 dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi pengguna atau alamat carian.

“Ia juga mewujudkan aplikasi telefon bimbit memberi maklumat berkaitan fasiliti saringan Covid-19 yang terdekat dan bantuan nasihat secara atas talian,” ujarnya. – MalaysiaGazette