Home Nasional Pengasas skim pelabur forex dibebaskan dengan jaminan polis

Pengasas skim pelabur forex dibebaskan dengan jaminan polis

Tiga suspek termasuk pengasas skim pelaburan perdagangan berasaskan mata wang asing (Forex)  JJ Poor To Rich (JJPTR), Johnson Lee ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman di Bukit Mertajam.

BUKIT MERTAJAM – Tiga suspek termasuk pengasas skim pelaburan perdagangan berasaskan mata wang asing (forex)  JJ Poor To Rich (JJPTR), Johnson Lee dibebaskan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini.

Ketiga-tiga mereka yang berumur antara 28 dan 29 tahun dibebaskan Majistret Diane Nigrat Nor Azahar dengan jaminan polis selepas dibawa ke mahkamah berkenaan kira-kira pukul 11 pagi ini.

Peguam suspek, G. Jaya Prem berkata, pihaknya meminta mahkamah menolak permohonan reman itu kerana anak guamnya sebelum ini telah direman enam hari oleh Mahkamah Majistret Klang, Selangor.

“Mereka juga telah memberi kerjasama yang baik sepanjang tempoh reman sebelum ini serta membantu pihak polis menjalankan siasatan berhubung kes ini,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

Kesemua suspek sebelum itu direman selama enam hari di Klang, Selangor dan dipindahkan untuk mendapatkan perintah reman di Pulau Pinang berikutan terdapat beberapa laporan oleh pelabur berhubung di negeri ini.

Pada 16 Mei lalu,  mereka ditahan di Petaling Jaya, Selangor yang mana polis turut merampas wang tunai lebih RM20,000 serta 11 kad debit dan kredit.

Penahanan itu dibuat selepas beberapa pihak berkuasa menyerbu lapan premis JJPTR di negeri ini sejak kira-kira dua minggu lalu selain menahan 15 pekerja serta empat pelabur bagi membantu siasatan.

Skim JJPTR menjadi perhatian selepas beberapa pelaburnya mula membuat laporan polis kerana mendakwa tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan pengasas skim berkenaan yang mendakwa mengalami kerugian akibat sistem mereka digodam.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati kira-kira 400,000 mangsa termasuk 100,000 warga asing dikesan terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan itu yang mengaut keuntungan mencecah RM1.7 bilion.

Majoriti mangsa terdiri daripada 300,000 warga tempatan dipercayai dari negeri ini dan utara tanah air dengan jumlah pelaburan  yang ditawarkan sindiket berkenaan mencecah enam angka bagi seorang pelabur.

Risikan polis juga mendapati jum­lah pelaburan paling rendah di­buat pelabur adalah RM4,500 dengan ada mangsa yang sanggup me­labur sehingga RM100,000.

Polis turut membekukan beberapa akaun milik syarikat itu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.- MalaysiaGazette