Home Dunia Kazakhstan siap sedia hadapi pasca Covid-19

Kazakhstan siap sedia hadapi pasca Covid-19

Kassym-Jomart Tokayev (depan kiri).

KUALA LUMPUR – Kazakhstan yang akan menamatkan tempoh darurat pada 11 Mei ini telah bersiap sedia untuk berdepan pasca penularan wabak Covid-19 di republik itu.

Negara itu mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan mengehadkan perjalanan serta perdagangan bagi membendung penularan virus tersebut pada 15 Mac lalu.

Presidennya, Kassym-Jomart Tokayev berkata, pihaknya akan memberi sokongan kepada masyarakat antarabangsa dalam memerangi virus itu dengan mengambil langkah-langkah pencegahan komprehensif ke atas semua negara di seluruh dunia.

Beliau menegaskan, sebagai persiapan menghadapi krisis pasca itu, kerajaan dan Bank Negara akan menyiapkan pelan lengkap untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi yang akan merangkumi sokongan kepada sektor yang paling terjejas.

“Seiring dengan perkembangan sektor perubatan, syarikat yang mendapat kelulusan vaksin wabak itu akan diberi keutamaan dengan mendapat sokongan yang besar.

“Kerajaan telah memperuntukkan $13.8 bilion untuk menyokong rakyat dan perniagaan yang terkesan dengan wabak ini.

“Lebih 4.2 juta orang telah menerima bantuan kewangan dan 1.6 juta orang pula akan menerima bantuan kerajaan untuk membayar kos kemudahan awam,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysia & The Arab World (ASWAQ) di sini hari ini.

Kazakhstan mengisytiharkan darurat di seluruh negara itu dan mengehadkan perjalanan serta perdagangan bagi membendung penularan Covid-19 pada 15 Mac lalu.

Tokayev menegaskan kelonggaran yang diberikan daripada sebahagian tindakan kuarantin sebelum ini tidak bermakna rakyat negaranya ketika ini akan kembalinya ke gaya hidup normal.

Tambahnya, masih banyak yang tidak diketahui mengenai virus tersebut dan kemungkinan muncul gelombang global kedua wabak itu dari pusat membeli-belah dan hiburan, pawagam, restoran, taman dan tempat lain yang menjadi tumpuan orang ramai

Menurut beliau, semua tempat itu yang akan ditutup buat masa ini dan kerajaan telah membatalkan apa juga perayaan bagi menjaga kesejahteraan negara.

“Kerajaan yakin dalam tempoh mendatang, ekonomi dan rizab kewangan negara akan kembali menjadi stabil serta kemampuan kerajaan untuk menyokong institusi nasional yang terjejas.

“Negara ketika ini dapat bergerak untuk menuju masa depan yang lebih baik kerana Kazakhstan sedang menyiapkan visi khusus untuk pembangunan negara walaupun jalan penyelesaian wabak itu belum ada,” katanya.

Tokayev menambah insentif cukai untuk lebih daripada 700,000 syarikat dan kontraktor individu serta perusahaan kecil dan sederhana akan membolehkan mereka menjimatkan pendapatan lebih daripada $2.3 bilion.

Lebih lagi katanya, untuk mengelakkan kehilangan pekerjaan dan menurunkan gaji pekerja, pendaftar syarikat-syarikat berkaitan telah diberi sokongan yang diperlukan.

Pihak berkuasa perubatan di Kazakhstan menjangkakan jumlah orang yang dijangkiti Covid-19 menjelang akhir Mei ini mencecah 4,000 kes yang merupakan tanda kejayaan rancangan kerajaan berjaya menangani wabak itu sejak awal di sebalik timbul rasa tidak puas hati dan ketegasan dalam menanganinya sebelum ini.

“Rancangan dan program untuk mempersiapkan fasa pasca-Covid-19, yang mana syarikat industri, syarikat pembinaan, pembinaan jalan raya, syarikat pengangkutan, bank dan pusat perkhidmatan awam akan memulakan pekerjaan mereka, dengan syarat mereka mematuhi semua standard kesihatan dan melaksanakan secara berkala pembersihan tempat kerja,” katanya. – MalaysiaGazette