Home Seni Hidup Sediakan ruang khas bersolat, tadarus di rumah – Imam Besar

Sediakan ruang khas bersolat, tadarus di rumah – Imam Besar

Imam akan menerima pemberian khas RM500. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini disaran menjadikan rumah sebagai pusat ibadah dengan menyediakan ruang khas untuk bersolat dan bertadarus sepanjang Ramadan ini.

Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni berkata, ia bagi membolehkan timbul keazaman dan disiplin yang tinggi selepas mereka tidak dapat mengimarahkan masjid susulan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Beliau turut berkongsi perasaan umat Islam yang kurang ‘feel’ apabila masjid dan surau ditutup, namun memberitahu ibadah di rumah sendiri akan mendapat pahala sama dengan ganjaran di rumah Allah itu.

“Bila mana bulan Ramadan ini, Allah SWT jadikan sebgaai salah satu bulan istimewa kerana sebab Dia turunkan Al-Quran di dalamnya walaupun kadang-kadang kita merasakan kita tidak ada perasaan untuk beribadah di rumah.

“Tetapi kita kena ada disiplin bahawa ada satu hadis Rasulullah menyatakan ada tujuh golongan di mana tidak ada lindungan, selain lindungan Allah SWT.

“Salah satu daripadanya seorang lelaki yang hatinya selalu bergantung dengan masjid, hendak solat Jemaah, hendak imarah dan pergi masjid untuk silaturahim.

“Tetapi ketika ini tidak dapat dan mudah-mudahan dengan adanya keazaman tersebut, kita buat solat jemaah dan berterawih serta bertilawahtul tadarus anak dan isteri di rumah dan insya-Allah akan beri pahala seumpama di masjid seperti sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Ehsan menambah, apa-apa ujian yang Allah SWT yang turunkan kepada umatnya termasuk wabak Covid-19 ketika ini pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Jelas beliau, yang pertama boleh merapatkan hubungan kekeluargaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasa sejak 18 Mac lalu.

“Selain itu, jangan pandang mudah dan enteng sesuatu penyakit kerana sebelum ini berlaku di China.

“Kita merasa di Malaysia tidak terjadi, tetapi sekarang ini sudah jadi pandemik seluruh dunia dan ada negara berada di luar kawalan ke atas penyakiy tersebut.

“Alhamdulillah di Malaysia kita amat berterima kasih kepada pihak kerajaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia, petugas barisan hadapan yang mengekang wabak itu kerjasama yang diberikan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette