SEBAGAI sebuah negara yang mengamalkan sistem
persekutuan, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu bersemuka dan duduk berbincang bagi menyelesaikan sebarang isu atau kemelut yang ada di antara mereka. Ini susulan perbezaan pandangan dan pendapat yang muncul diantara pihak kerajaan persekutuan dan negeri mengenai proses penguatkuasaan Perintah Kawalan Pengerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan persekutuan pada 1 Mei yang lalu dan mula dikuatkuasakan pada 4 Mei.
Walaupun Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan perlaksanaan PKPB, namun di atas faktor- faktor tertentu terdapat beberapa kerajaan negeri yang dilihat masih tidak
melaksanakan PKPB dinegeri masing-masing lalu. Sejak 18 Mac yang lalu, PKP telah digunakan dalam negara. Antara inti pati utama perintah PKP berkenaan adalah larangan menyeluruh
pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta dan lain- lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti, penutupan semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara dan penutupan semua premis kerajaan dan swasta, kecuali yang terlibat dengan
perkhidmatan penting negara.
Penguatkuasaan PKP terbabit yang turut meliputi arahan penutupan banyak premis dan tempat kerja dalam negara dikuatkuasakan di seluruh Malaysia. Namun, pihak Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan untuk melaksanakan PKPB bermula 4 Mei yang lalu. YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu perutusan khas sempena Hari Pekerja pada 1 Mei berkata semua kegiatan ekonomi dan sosial akan dibenarkan
beroperasi dalam negera kita dengan bersyarat bermula 4 Mei. Walaupun kelonggaran diberikan untuk beberapa sektor ekonomi dan pekerjaan dalam negara kita untuk beroperasi, mereka akan tertakluk kepada beberapa syarat yang ketat. Antara syarat-syarat yang dinyata oleh beliau adalah mana-mana kegiatan yang melibatkan himpunan orang ramai seperti panggung wayang dan bazar, atau kegiatan kontak rapat seperti bola sepak dan rugbi tidak dibenarkan dan sekolah serta institusi pengajian tinggi masih ditutup dan perjalanan merentas negeri tetap tidak
dibenarkan kecuali untuk urusan kerja. Pengendali restoran
pula boleh menerima pelanggan tetapi hanya 1 hingga 3
orang dibenarkan berkongsi meja, dan penjarakkan sosial
masih berkuatkuasa di kaunter juruwang. Proses pensanitasi
dan sabun di sinki mesti disediakan, mengimbas suhu badan
pelanggan disarankan, dan kakitangan mesti memakai
topeng sepanjang masa. YAB Perdana Menteri juga menyeru pihak majikan untuk membenarkan kakitangan bekerja dari rumah dan membolehkan suami dan isteri bekerja secara bergilir. Semua syarat yang dinyatakan ini adalah bagi membendung penularan virus Novel Koronavirus (Covid-19) dalam negara kita.
Sebilangan kerajaan negeri secara prinsipnya setuju terhadap pelaksanaan PKPB ini namun memohon sedikit tempoh diberikan untuk pelaksanaannya. Penangguhan pelaksanaan PKPB menimbulkan konflik serta kekeliruan terhadap beberapa pihak dalam negara kita. Walau apa pun masalah yang dihadapi, jika terdapat sebarang isu berbangkit antara kerajaan persekutuan dan negeri khususnya mengenai aspek undang-undang dan
penguatkuasaanya, rujukan perlu dilakukan terhadap Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi
sekali dalam negara kita. Perkara 74 (1) dan Perkara 74 (2)
Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan dengan
jelas proses pembahagiaan kuasa antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk merangka sesuatu jenis undang-undang serta penguatkuasaannya dalam negara kita.
Perlembagaan Persekutuan juga telah memperuntukkan
dengan jelas senarai bidang kuasa Kerajaan Persekutuan
dan kerajaan negeri seperti yang telah diperuntukkan di dalam senarai persekutuan, senarai negeri serta senarai bersama. Perkara yang berkaitan dengan kesihatan pula telah dimasukkan dibawah senarai bersama. Senarai bersama di dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Kesihatan awam, kebersihan (tidak termasuk kebersihan di ibu kota persekutuan) dan pencegahan penyakit”. Ini jelas menunjukkan kepada kita perkara yang melibatkan kesihatan umum diletakkan dibawah senarai bersama di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh yang demikian, kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri
mesti bekerjasama dalam isu berkaitan dengan aspek kesihatan umum. Semangat federalisme yang diamalkan dalam negara kita semenjak merdeka dulu menuntut pihak kerajaan persekutuan mendengar segala isu yang dibangkitkan oleh pihak kerajaan negeri dan pada masa yang sama juga pihak kerajaan negeri perlu mematuhi segala ketetapan yang telah ditentukan oleh pihak Kerajaan Persekutuan bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan timbul dalam kalangan orang ramai. Kerjasama yang erat dan jitu antara semua pihak adalah penting bagi menghapuskan sepenuhnya ancaman virus Covid-19 yang telah melanda negara kita dan seluruh dunia.
Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)