PUCHONG – Pandemik Covid-19 yang mengorbankan lebih 100 nyawa di Malaysia menyebabkan kerajaan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu.
Keputusan tersebut tentunya menjejaskan pendapatan golongan yang membuat kerja sambilan demi menampung kehidupan.
Menyedari hakikat itu, Pasukan Sukarelawan Penyelamat Kecemasan Perubatan Bakti Malaysia (PSPKPBM) memfokuskan kepada golongan tersebut dalam misi mereka menghulurkan bantuan.
Pengarah Komunikasi dan Media PSPKBM, Latiffah Sidek berkata, pihaknya menerima banyak permohonan untuk mendapatkan bantuan di Selangor dan Wilayah Persekutuan termasuklah pemandu teksi dan peniaga pasar malam.
Namun menurut Latiffah, PSPKPBM tidak hanya fokus kepada dua negeri ini sebaliknya ke seluruh negara mengikut kemampuan dana sumbangan orang ramai.
“Bantuan ini setakat ini kita sudah sampai ke Perak, Melaka, terutamanya Lembah Klang Selangor dan Wilayah Persekutuan yang paling tinggi terjejas angkara Covid-19.
“Penerima memang dalam keadaan kita wajib bantu, ada yang golongan asnaf. Ada yang kerja sambilan, sebelum ini jual kuih, jaga anak orang yang sekarang ini tidak boleh lagi jadi bertambahlah kesusahan mereka.
“Ada juga yang sebelum ini bawa teksi, berniaga pasar malam,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut Latiffah, selain warga tempatan, PSPKPBM turut menghulurkan bantuan kepada warga asing yang tinggal di negara ini yang kebanyakannya terjejas mata pencarian apabila tidak dapat keluar bekerja.
Terdahulu PSPKPBM menyerahkan bantuan barangan keperluan seperti beras, telur, tepung kepada 12 keluarga yang terjejas akibat PKP.
Misi terbaharu yang berlangsung semalam adalah yang ke-43 diadakan oleh NGO itu sejak PKP dikuatkuasakan. – MalaysiaGazette