KONSEPÂ pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mempunyai matlamat untuk mengimbangi usaha memulihkan ekonomi dan dalam masa yang sama negara masih kekal mengawal dan memerangi wabak Covid-19.
Apakah keprihatinan orang ramai mengenai perubahan dari perintah kawalan pergerakan (PKP) kepada PKPB mulai 4 Mei lalu?
Perbincangan kritis kesan ekonomi dari kesan PKP enam minggu lalu memberi impak yang ketara hingga mengakibatkan negara mencapai kerugian besar RM2.4 billion sehari atau sejumlah RM63 billion sehingga April 2020.
In amatlah membimbangkan untuk sebuah negara membangun seperti Malaysia kerana boleh menyebabkan berlakunya kemelesetan ekonomi yang ketara.
Seperti mana yang kita sedia maklum sudah terdapat perniagaan dan hotel yang tidak lagi dapat menanggung risiko lagi untuk beroperasi dan tutup sepenuhnya atau gulung tikar.
Melindungi nyawa rakyat juga harus tetap menjadi keutamaan negara dalam pengurusan wabak Covid-19 ini.
Walaupun negara kita telah berjaya meratakan lengkuk dari mencapai puncaknya, kita masih berada dalam fasa awal pemulihan kerana masih terdapat 105 kes baru dikenalapsti dan 1,747 kes aktif dilaporkan pada 2 Mei lalu.
Cadangan pembukaan aktiviti ekonomi perlu diteliti semula kerana pada 1 Mei, terdapat 8 daerah zon merah di Malaysia dengan lebih daripada 40 kes aktif.
Daerah-daerah ini harus kekal di bawah PKP sehinggalah ia bertukar menjadi kuning atau hijau. Daerah kuning dan hijau dapat ditingkatkan menjadi PKP.
Sekarang merupakan fasa penting untuk kita “Educate and empower the Community”.
Fasa bagi mempertingkatkan pemerkasaan dan tanggungjawab komuniti agar mereka boleh memainkan peranan aktif dalam menentukan sama ada komuniti mereka berada di zon hijau, kuning atau merah dengan aktif mempraktikkan jarak sosial dan tingkah laku ‘normal baharu’.
Komuniti di zon merah tidak boleh melakukan pergerakan keluar dari zon mereka kerana mereka masih berada di bawah PKP.
Hanya perniagaan dan perkhidmatan penting yang boleh dijalankan di zon merah. Komuniti PKP zon hijau dan kuning pula boleh pergi ke zon hijau dan kuning lain tetapi tidak ke zon merah.
Zon merah ini mungkin boleh diperincikan lagi mengikut mukim supaya lebih jelas dengan lokasi yang lebih tepat mengenai taburan kes dan kluster baharu mengikut jumlah kes semasa jangkitan atau penularan tempatan dan kes import.
Perkara ini penting kerana ia merupakan mekanisme memperjelaskan lagi komunikasi risiko kepada masyarakat awam.
Dalam fasa pemulihan wabak ini, selain mengurangkan jumlah kes baharu kita juga harus memberi tumpuan untuk mengurangkan kes kematian dengan melindungi kumpulan berisiko tinggi dalam populasi kita.
Negara Malaysia mempunyai kadar kematian kes terendah di dunia pada 1,67%, jika di bandingkan dengan negara-negara lain di dunia dalam pengurusan pandemik atas strategi pengurusan wabak Kementerian Kesihatan Malaysia dan kumpulan barisan hadapan yang berkesan dan terpuji.
Majoriti dari kes kematian adalah dari warga emas dengan risiko penyakit kronik (NCB). Golongan ini seharusnya di lindungi dari jangkitan dan tidak seharusnya berada di lokasi berisiko dan tempat awam.
Kegusaran kini berlaku dalam kalangan masyarakat selepas pengumuman PKPB oleh Perdana Menteri, terdapat golongan yang semakin lupa dan bersesak-sesak di tempat awam seperti pasar, taman permainan sehingga melupakan usaha dan pencapaian yang telah kita perolehi setelah 6 minggu berada dalam PKP.
Di jalan telah dipenuhi dengan kenderaan dengan beberapa ahli keluarga, di pasar juga sudah berlaku aktiviti bersesak.
Lupakah kita tentang pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan?
Pandemik yang berlaku ini adalah peluang untuk kita muhasabah diri kembali ke fitrah ilahi sebagai manusia, iaitu hamba Allah di dunia, jujur dan bertanggungjawab kepada diri sendiri keluarga, masyarakat dan negara.
Kita perlu berkorban dan beradaptasi kepada norma baharu kerana sesungguhnya nikmat di dunia itu hanya sementara dan nikmat di syurga itu kekal selamanya. Semoga Allah mempermudahkan usaha kita mengakhiri wabak ini di Malaysia.- MalaysiaGazette
Professor Madya Dr Juliana Jalaludin
Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Universiti Putra Malaysia