Home PTPTN PTPTN hargai petugas barisan hadapan sempena Ramadan

PTPTN hargai petugas barisan hadapan sempena Ramadan

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid pada Ziarah Ramadan PTPTN dan Malaysia Gazette bersama IPD Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 06 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Peranan barisan hadapan dalam membantu kerajaan menangani Covid-19 menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu sewajarnya mendapat penghargaaan.

Mengambil inisiatif tersebut Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka  tampil menghulurkan sumbangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan para petugas kesihatan.

Sumbangan itu bukan sahaja dihulur kepada mereka yang bertugas di Lembah Klang malah turut diperluaskan ke seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sumbangan berbentuk starter kit seperti kurma, air mineral serta kuih muih diberikan kepada kumpulan yang bertindak menjaga keselamatan dan ketenteramaan awam sepanjang PKP serta para petugas kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid yang ditemui sejurus selepas mengadakan kunjungan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dekat sini berkata, beliau amat terhutang budi dengan kerja keras petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menunaikan tanggungjawab tanpa mengira masa.

Kata Ahmad Dasuki, program CSR PTPTN tahun ini melibatkan sumbangan sebanyak 2,800 kit starter berbuka puasa dan kuih raya dengan pelaksanaan peringkat ibu pejabatnya disertai sekali oleh portal MalaysiaGazette.

“Kita beri kepada semua termasuk Sabah, Sarawak. Bagi peringkat ibu pejabat kami di sini, kita bekerjasama dengan MalaysiaGazette yang turut sama-sama menyumbang juadah utama kepada barisan frontliners kita.

“Kita sebenarnya perlu berganding bahu membendung penyebaran Covid-19 ini dan PTPTN beriltizam menghulurkan bantuan selagi mampu. Semua barisan hadapan seperti anggota polis dan tentera memainkan peranan ketika keadaan genting.

“Hakikatnya kami begitu berbesar hati, dapat memberikan sumbangan dan sokongan seperi ini,” katanya sebentar tadi.

Kata Ahmad Dasuki lagi, sumbangan PTPTN juga menunjukkan keprihatinan membantu dan menyokong usaha kerajaan dan menghargai petugas barisan hadapan yang selama ini bertungkus lumus tangani penularan Covid-19.

“PTPTN juga akan terus menyokong segala usaha kerajaan untuk menangani pandemik ini selain terus mengingatkan masyarakat agar menjaga kebersihan diri dan mempraktikkan norma baharu seperti memakai penutup muka, sentiasa cuci tangan serta sentiasa penjarakan sosial supaya jaringan penularan dapat dihentikan,” ujarnya. –MalaysiaGazette