PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenalpasti satu kluster baharu yang melibatkan pengawal dan anggota keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Cheras, Kuala Lumpur.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga hari, sebanyak 10 kes positif Covid-19 membabitkan sembilan warganegara Nepal dan seorang rakyat tempatan.
Jelas beliau, punca jawapan bagi kluster itu masih dalam siasatan pihaknya.
“Langkah-langkah pembendungan dan pencegahan lain telah dilakukan seperti mengenalpasti dan menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua pekerja dan kontak rapat mereka.
“Kesemua kes warganegara Nepal dalam kluster ini tinggal di kediaman yang sama di Cheras seramai 15 orang.
“Saringan Covid-19 telah dijalankan ke atas penghuni kediaman mereka, pengawal dan anggota keselamatan di pusat membeli-belah tersebut, dan juga pekerja pasaraya yang berkait rapat,” katanya dalam sidang media KKM hari ini.
Noor Hisham menambah, sehingga kini, seramai 436 orang telah disaring, di mana 10 kes positif positif dan 347 kes negatif serta 79 orang masih menunggu keputusan.
Menurut beliau, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Cheras dan Titiwangsa akan terus menjalankan pemantauan ke atas peningkatan kes COVID-19 berkaitan kluster ini.
“Kesemua kontak rapat setiap kes yang telah dilakukan untuk tujuan saringan dan pendidikan kesihatan juga telah diberikan,” katanya. – MalaysiaGazette