Home Ekonomi 1 juta hilang pekerjaan jika PKPB tidak dilaksana

1 juta hilang pekerjaan jika PKPB tidak dilaksana

Pekerja, Siti Nurdiana Sofyan (kanan) dan Anisah Abdul Rahman (kiri) menikmati juadah berbuka puasa di kedai mereka bekerja berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 MEI 2020.

KUALA LUMPUR- Kira-kira sejuta pekerja akan hilang mata pencarian sekiranya kerajaan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, titik keseimbangan di antara kesihatan rakyat dan ekonomi perlu dicari kerana negara kehilangan RM2.4 bilion pendapatan sehari ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan selama lebih 40 hari.

“Kami tahu ramai yang mahu kerajaan terus melaksanakan PKP tetapi kita juga perlu sedar tentang masalah kewangan yang ditanggung oleh syarikat-syarikat ini dan negara.

“Memang ada yang mengatakan, kerajaan sengaja membantu syarikat-syarikat besar dengan membenarkan mereka beroperasi tetapi apa sebenarnya yang berlaku adalah kami mahu membantu menyelamatkan pekerjaan.

“Sekiranya syarikat-syarikat yang mempunyai ratusan atau ribuan pekerja ini ditutup kerana masalah kewangan, sudah pastilah kadar pengangguran dalam negara akan meningkat.

“Pertimbangan yang sama diberikan kepada syarikat-syarikat kecil. Ini bukan soal keuntungan tetapi survival untuk memastikan mereka masih terus mampu beroperasi dan tidak membuang pekerja,” katanya semasa program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Jelasnya, kerajaan telah melakukan persediaan rapi sebelum melaksanakan PKPB.

Selain mematuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan turut yakin dengan pendekatan melakukan pemantauan mengikut tiga zon yang telah ditetapkan iaitu merah, kuning dan hijau.

Ketika ditanya mengenai isu rentas negeri oleh warga Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang terpaksa memasuki satu negeri ke negeri lain kerana bekerja dan sebagainya, Ismail Sabri menjelaskan, ketiga-tiga negeri itu dikategorikan sebagai Lembah Kelang.

Jadi, warga Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya tidak dianggap melanggar PKPB sekiranya terpaksa membuat pergerakan di antara tiga negeri berkenaan.

Perkara tersebut telah dipersetujui oleh Polis Diraja Malaysia, katanya.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Sebagai rakyat, kita perlu yakin apa yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan adalah alternatif yang terbaik buat masa ini. Sekiranya kita seorang rakyat yang perihatin, kita harus patuh dan akur kepada pesanan kerajaan tentang bagaimana kita boleh mensifar Covid 19. Laksanakan dengan jujur dan ikhlas tanpa mementingkan diri sendiri demi diri, keluarga. keturunan, masyarakat, agama dan negara.

  2. Kemumgkinan rakyat akan hilang nyawa apabila negara berantakkan angkara kerakusan YB-YB. Hilang kerja boleh cari hilang nyawa cari di mana.

Comments are closed.