SHAH ALAM – Sebanyak 11 sekatan jalan raya (SJR) sahaja yang aktif di seluruh Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei hingga 12 Mei ini.
Jurucakap Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, SJR kali ini lebih tertumpu kepada kawasan berdekatan dengan sempadan negeri itu sahaja.
Katanya, SJR yang aktif itu terletak di lima ibu pejabat polis daerah termasuk Kajang, Sepang, Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Serdang.
“SJR yang didirikan di sekitar Selangor adalah seperti IPD Kajang (3 kawasan), IPD Sepang (3 kawasan), IPD Hulu Selangor (3 kawasan), IPD Sabak Bernam (1 kawasan) dan IPD Serdang (1 kawasan).
“Semua SJR ini adalah tertakluk kepada sempadan negeri Selangor dan SJR ini hanya diletakkan di bawah IPD-IPD tersebut,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Yazid juga berkata, bagi kawasan yang tidak mempunyai SJR, pihaknya akan menggerakkan pasukan pemantauan seperti mana yang telah digerakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Pertama hingga Keempat lalu.
“Kita akan membuat lebih kepada pemantauan (bagi IPD yang tiada SJR) sebab team-team pemantauan pun daripada pihak IPD-IPD yang mana tiada SJR ini telah digerakkan sejak PKP fasa sebelum ini,” katanya.
Katanya lagi, pihak polis meminta orang ramai agar mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dalam warta kerajaan seperti mana Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pihak polis akan terus memantau dan membuat pemeriksaan di lokasi tumpuan awam dengan memberi nasihat, teguran dan ingatan untuk fasa ini bagi memastikan semua orang awam mematuhi SOPÂ yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan.
“Orang ramai hendaklah sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut, sentiasa mencuci tangan ketika berada di luar rumah dan membersihkan diri ketika pulang ke rumah.
“Orang ramai hendaklah mengamal serta membudayakan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian bagi mencegah penularan pandemik Covid-19 bagi fasa ini agar dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette