Home Nasional Garis Panduan Solat Jumaat, Aidilfitri ambil kira jangkaan kes Covid-19

Garis Panduan Solat Jumaat, Aidilfitri ambil kira jangkaan kes Covid-19

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan jangkaan mengenai situasi penularan Covid-19 dalam tempoh dua hingga empat minggu kepada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Mesyuarat yang bermula awal hari ini kata Noor Hisham, adalah untuk memberikan memberikan pandangan serta nasihat sewajarnya berhubung cadangan membenarkan silat Jumaat, Tarawih dan Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya sudah membentangkan perkembangan COVID-19 dari mula hingga kini dan jangkaan kita (mengenai situasi penularan) dalam tempoh dua hingga empat minggu.

“Selain solat Jumaat, ada banyak yang dibincangkan, saya jawab semua soalan yang dibangkitkan dengan sebaik mungkin termasuk kemusykilan yang ditimbulkan,” katanya pada sidang media harian hari ini.

Noor Hisham berkata demikian menjawab pertanyaan media tentang nasihat KKM tentang mesyuarat yang membincangkan tentang saranan solat Jumaat, Tarawih dan Aidilfitri semasa PKPB.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya sudah memberikan penerangan dan langkah yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Kita berharap kebijaksanaan jawatankuasa muzakarah terbabit untuk memberikan pandangan dan sebarang keputusan daripada muzakarah terbabit akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja,” katanya.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, garis panduan solat Jumaat dalam tempoh PKPB yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) hari ini akan dibawa ke Majlis Raja-Raja.

Garis panduan itu adalah sebagai pandangan dan nasihat untuk dipertimbang serta diputuskan pihak berkuasa agama negeri. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Garis Panduan Solat Jumaat dalam tempoh PKPB akan diputuskan Majlis Raja-raja