Home Nasional Pasar terus disaring, elak wujud sub kluster baharu – Amirudin

Pasar terus disaring, elak wujud sub kluster baharu – Amirudin

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan kerja-kerja pengambilan sampel Covid-19 terhadap orang awam yang pernah menghadiri ke Pasar Besar Jalan Othman bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Klinik Kesihatan Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor foto HAZROL ZAINAL, 29 APRIL 2020.

SHAH ALAM – Kawasan pasar di seluruh Selangor tidak terkecuali daripada menjalani saringan Covid-19 meskipun kes positif wabak itu semakin terkawal dan menunjukkan penurunan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia bagi memastikan kawasan pasar tidak menjadi sub kluster Covid-19 yang sangat terdedah kepada kontak rapat daripada kluster Pasar Borong Kuala Lumpur sebelum ini.

“Kerajaan negeri mengambil langkah-langkah sebaik mungkin untuk mengelakkan sub-sub kluster baharu timbul.

“Pada waktu ini kerajaan negeri sedang meneliti keadaan pasar yang menjadi tempat sub kluster kepada Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Taman Megah, Pasar Taman Osman, Pasar di Tanjung Karang dan sebagainya.

“Kita mungkin akan melihat atau menyaring mereka yang berada di pasar. Semalam kita telah menyaring Pasar Selayang Baru dan hari ini mungkin di Pasar Seri Gombak.

“Sebab kita lihat kontak perhubungan di pasar itu merupakan kluster baru yang telah menimbulkan sub kluster yang lain,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, walaupun kes Covid-19 di Selangor masih terkawal, namun rakyat diminta mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Saya boleh kata Covid-19 di Selangor masih terkawal tapi kita masih terus meneruskan penjarakkan sosial.

“Kita harus meneruskan penjagaan kesihatan di samping kita berikhtiar untuk mendapatkan vaksin yang dilaksanakan ketika ini,” katanya.

Sementara itu, rakyat tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak penguatkuasa bagi memastikan rakyat patuh kepada penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan.

“Kita ada penguatkuasa tapi kita memerlukan penyertaan awam. Saya kira kita kena realistik sebab penguatkuasaan sahaja tidak mampu mengawalnya.

“Pada waktu ini sudah pasti rakyat harus bersama-sama terlibat memastikan penjarakkan sosial, serta tingkah laku sewajarnya dilaksanakan di dalam komuniti.

“Ia melibatkan keputusan dan tindakan rakyat secara keseluruhan, bila kita lihat terma ‘Kita Jaga Kita’ bermaksud kita juga harus ada peranan seperti peranan kita terus duduk di rumah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette