Home Nasional Saya akan bersuara jika haiwan diseksa – Rani Kulup

Saya akan bersuara jika haiwan diseksa – Rani Kulup

Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung kes pijak anak kucing sehingga mati yang tular di laman sosial di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Jangan anggap Abdul Rani Kulup Abdullah hanya bersuara untuk manusia yang didera atau dianiya.

“Jika haiwan atau binatang didera, diseksa atau dianiaya, ayahnda akan bersuara dan bertindak juga” kata Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) yang dikenali dengan panggilan Ayahanda.

Beliau yang yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul ke atas seorang individu dipercayai kurang siuman yang bertindak kejam menggantung anjingnya di sebatang pokok mahu pihak berkuasa mengambil tindakan atas pelaku jenayah itu.

“Haiwan pun ciptaan Allah yang mana kita perlu berperikemanusiaan dan sayang mereka, kalau tak pun janganlah seksa mereka.

“Siapalah kita untuk memperlakukan haiwan yang tidak berdosa itu sebegitu kejam sampai nak pijak anak kucing sampai mati, gantung anjing di pokok.

“Jangan anggap ayahanda boleh berdiam diri melihat semua perbuatan ini, kalau mana-mana haiwan diperlakukan kejam sebegitu saya akan turun bersuara dan mempertahankannya.

“Saya tidak teragak-agak untuk tangkap sendiri penjenayah dera haiwan atau binatang dan serahkan kepada polis sekiranya insiden seumpama berulang lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kejadian itu berlaku pada 6 Mei lalu di Batu 17 Sungai Sedu, Jalan Klang Banting, Selangor.

Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung kes pijak anak kucing sehingga mati yang tular di laman sosial di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 MEI 2020.

Pesara tentera itu juga mahu hukuman itu menjadi peringatan untuk orang ramai yang berniat untuk melakukan kekejaman ke atas haiwan.

“Bagi hukuman setimpal walaupun dia kurang siuman. Seksa haiwan dan binatang sebenarnya lebih bersifat binatang berbanding binatang yang ada di hutan.

“Kalau manusia di luar sana yang buat lagi hal ini, saya cadang polis tangkap dan hukum terus di mahkamah dan peguam-peguam pula janganlah pergi membela dia.

“Ayahanda cadangkan polis supaya jatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda RM500,000 untuk penjenayah itu,” ujarnya.

Sebelum ini Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian itu dikesan oleh pegawai Bahagian Kebajikan Haiwan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Cawangan Banting yang menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 10 pagi.

Lelaki berusia 45 tahun itu mengakui anjing berkenaan adalah miliknya dan enggan memberi kerjasama ketika pegawai veterinar yang menyuruhnya melepaskan anjing yang terjerut di lehernya, tambah beliau.

“Bagaimanapun, selepas diberi amaran, lelaki itu akur dan membuka tali digunakan untuk menggantung haiwan malang itu.

“Pegawai berkenaan kemudiannya merampas anjing itu untuk menyelamatkannya dan kemudian dibawa ke pusat jagaan haiwan untuk pemeriksaan,” katanya menerusi video yang dikongsi di Youtube.

Lelaki itu direman oleh polis untuk siasatan lanjut yang mendapati individu tersebut mempunyai rekod pesakit mental dan disahkan oleh Hospital Banting. – MalaysiaGazette