Home Nasional Cuepacs kecewa elaun Covid-19 petugas KKM tidak diberi perhatian serius

Cuepacs kecewa elaun Covid-19 petugas KKM tidak diberi perhatian serius

Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kecewa isu pembayaran elaun Covid-19 yang seharusnya diterima para petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih tidak diberi perhatian sewajarnya.

Presidennya Adnan Mat berkata, pihaknya menggesa KKM tidak mempermainkan perasaan petugas barisan hadapan kesihatan dengan kerenah birokrasi.

Adnan mendakwa, pelbagai syarat yang ditetapkan sendiri oleh KKM sehingga merumitkan proses tuntutan elaun tersebut selain menidakkan kelayakan petugas yang sepatutnya berhak menerima elaun tersebut.

“Cuepacs juga menggesa satu perjumpaan atau perbincangan dapat diadakan melibatkan pengurusan tertinggi KKM bersama dengan wakil-wakil kesatuan, wakil pekerja serta Ceupacs sendiri bagi menyelesaikan isu tuntutan elaun Covid-19.

“Cuepacs berpandangan perbincangan dua hala antara majikan dan pekerja dapat menyelesaikan isu ini secara total tanpa perkara berbangkit dikemudian hari.

“Pandangan dan suara daripada pihak kesatuan atau wakil pekerja perlu diambil kira bagi memastikan hak dan kebajikan petugas barisan hadapan terbela sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, ketika ini keputusan yang dibuat oleh ketua jabatan dilihat tidak mengendahkan suara dan pandangan kakitangan dan pegawai bawahan.

Justeru itu katanya, pihaknya berharap agar KKM dapat meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya bagi memudahkan kaedah pembayaran elaun Covid-19.

Menurut Adnan, penambahbaikan yang dibuat haruslah bertujuan untuk memudahkan urusan kerja petugas barisan hadapan dan tidak menidakkan hak yang sepatutnya mereka terima.

Katanya, ada petugas yang tidak dibenarkan balik berminggu-minggu lamanya, cuti dibekukan, syif kerja yang membebankan dan sehingga kini tidak dibenarkan mengambil cuti.

“Cuepacs juga menggesa agensi dan jabatan lain seperti PDRM, ATM, Imigresen, Kastam dan lain-lain turut sama meneliti dan memudahkan urusan pembayaran elaun khas yang diterima untuk petugas barisan hadapan mereka.

“Elaun yang diberikan oleh kerajaan adalah suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan dan janganlah kita lunturkan semangat dengan kerenah-kerenah birokrasi yang dicipta sendiri.

“Penjawat awam kekal dengan mantera Berkhidmat Untuk Negara demi keharmonian dan kemakmuran rakyat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette