Home Nasional Kebakaran pelupusan sampah Desa Putra: JAS sudah buka kertas siasatan

Kebakaran pelupusan sampah Desa Putra: JAS sudah buka kertas siasatan

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tunku Jaafar berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Watikah Lantikan Kehormat & Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam di Wisma Sumber Asli, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 22 MEI 2017

PUTRAJAYA – Jabatan Alam Sekitar telah membuka kertas siasatan terhadap pemilik tapak pelupusan sampah haram di Desa Putra Dengkil, Sepang yang terbakar sejak 14 Mei lalu untuk tindakan undang-undang.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, siasatan sedang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar d ikawasan berkenaan dan telah mengenal pasti identiti tuan tanah.

“Apa yang tinggal hanyalah proses kenalpasti individu yang menimbus sampah sarap berkenaan di situ dan kertas siasatan akan dihantar kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Saya rasa ini boleh dituduh dalam Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang bakal kita pinda dan guna nama baru. Tetapi pada masa sekarang kita kena guna dahulu akta ini,” katanya selepas merasmikan kolaborasi penguatkuasaan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sini, hari ini.

Menurut Wan Junaidi, berdasarkan Seksyen 127, 128 dan 129 Kanun Tanah Negara (KTN), sekiranya pemilik tidak mematuhi arahan, tanah akan dirampas.

“Kalau sesiapa yang tahu tanah miliknya digunakan untuk melanggar undang-undang seperti ini tidak ada cara lain, kerajaan akan rampas tanah tersebut. Itu cara yang terbaik,” ujar Wan Junaidi lagi.

Jabatan Alam Sekitar pada 14 Mei lalu menerima laporan berkaitan kebakaran itu kira-kira jam 11 pagi.

Siasatan awal mendapati lebih satu hektar daripada keseluruhan kawasan tersebut yang berkeluasan lebih dua hektar terbakar.

Berikutan itu, lokasi di sekitar pusat pentadbiran Putrajaya yang jaraknya kira-kira 6.5 kilometer menerima kesan pencemaran udara ekoran tiupan angin yang membawa asap tebal dan bau sampah dari kawasan kebakaran itu. -MalaysiaGazette.