KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan perjalanan politik Lim Kit Siang selama ini sering diwarnai dengan taruhan, janji palsu dan kemungkiran.
Kerana itu kata Mohamad atau lebih popular dengan panggilan Tok Mad, beliau tidak suka bertaruh dengan Kit Siang kerana sedar taruhan politik Penasihat DAP itu harganya ialah kemungkiran.
Jelas bekas Menteri Negeri Sembilan itu, hari ini beliau menunggu ajakan Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puetri bertaruh semula namun tidak pasti pula apa cabaran untuk kali ini.
“Ohh sebelum saya lupa, terlintas dalam fikiran saya apakah beliau masih mempercayai Tun Mahathir sepertimana kepercayaan yang beliau zahirkan setahun lepas di Sandakan.
“Saya pasti kepercayaannya masih menebal!” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tok Mad turut mengimbau peristiwa ketika Pilihan Raya Kecil Sandakan pada 10 Mei tahun lalu apabila Kit Siang mengajak beliau bertaruh bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pertaruhan itu menurutnya berikutan kenyataan beliau yang tidak yakin bahawa Mahathir akan menunaikan janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR itu selepas dua tahun.
Jelas beliau, Kit Siang lebih mempercayai Mahathir dan sebagai taruhannya, beliau akan bersara dari politik dan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 sekiranya Pengerusi Bersatu itu tidak menunaikan janjinya.
“Cabaran beliau ialah untuk saya menarik diri dari politik dan tidak bertanding dalam PRU ke-15.
“Pada hari ini 10 Mei 2020, Anwar menjadi Ketua Pembangkang. Tun Mahathir bertarung untuk menyelamatkan PPBM dan Lim Kit Siang kembali menjadi Ahli Parlimen pembangkang.
“Demikianlah melesetnya ramalan Lim Kit Siang sebagai ‘supremo’ politik’ DAP. Lim Kit Siang telah banyak kali berjanji akan mengundurkan diri dari politik, namun ia tidak pernah dikotakan.
“Beliau terus-terusan bertanding dalam pilihanraya seakan DAP ini tidak boleh ke mana tanpanya,” katanya. – MalaysiaGazette