KUALA LUMPUR – Usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak kena pada masanya ketika negara, kerajaan dan rakyat sedang berhempas pulas dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, seluruh dunia termasuk Malaysia sedang bersatu hati mendepani cabaran sangat getir ini yang memerlukan kerjasama semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan perbezaan parti politik masing-masing.
“Semua pihak ketika ini harus mengetepikan kepentingan politik dan peribadi bagi kepentingan, kestabilan, ketenteraman dan keharmonian rakyat serta negara kerana dunia sedang berdepan dengan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga calon Naib Presiden Bersatu berkata, lantaran itu, rakyat Malaysia, tidak kira pemimpin mahupun latar belakang politik, seharusnya mengetepikan ideologi masing-masing dan memberi fokus kepada isu utama yang lebih besar.
Tegasnya, mereka perlu memberi sokongan penuh kepada kepimpinan dan pentadbiran negara diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam bersama-sama menghadapi cabaran besar ini.
Selain itu, Mohd Rafiq percaya, kehadiran bulan Ramadan dan Syawal yang mulia ini sepatutnya menjadi platform yang terbaik bagi Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan Bersatu yang lain untuk duduk berbincang, mengecilkan perbezaan dan mencari titik persamaan bagi keharmonian dan perpaduan parti. – MalaysiaGazette
Menyampah tengok tebiat atok sekarang..