KUALA LUMPUR – Pemohon yang gagal mendapatkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) boleh membuat rayuan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan pertimbangan semula permohonan mereka.
Ia perlu dikemukakan bersama dokumen sokongan yang membuktikan mereka kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah.
“Tempoh permohonan rayuan bagi BPN akan dilanjutkan sehingga 31 Mei 2020 manakala pejabat LHDNM akan dibuka bermula 11 Mei 2020 atau 12 Mei 2020 (berdasarkan hari bekerja di setiap negeri) bagi menerima rayuan tersebut.
“Rayuan akan diberi pertimbangan yang sewajarnya bagi memastikan mereka yang menepati syarat BPN akan menerima bantuan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sabin berkata, kerajaan telah mendapati terdapat banyak rungutan terutamanya melalui media sosial daripada mereka yang telah ditolak permohonannya.
Antara sebab utama permohonan ditolak adalah kerana pemohon mempunyai pendapatan yang melebihi syarat BPN, katanya.
Tambah beliau, antara sebab lain permohonan mereka ditolak termasuk tidak mematuhi syarat tertentu seperti kelayakan umur, status pelajar sepenuh masa dan lain-lain.
“Contohnya, terdapat 240,465 permohonan diterima daripada pelajar sepenuh masa sedangkan mereka tidak layak mendapat BPN, kerana telah layak mendapat RM200 menerusi bantuan pelajar institusi pengajian tinggi secara one-off.
“Kerajaan juga menerima aduan antara permohonan yang ditolak adalah daripada pemohon yang telah kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan yang ketara baru-baru ini ” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan BPN dengan melayari portal rasmi LHDNM di
https://bpn.hasil.gov.my. – MalaysiaGazette