KUALA LUMPUR – Kepimpinan UMNO perlu memperbaharui iltizam kepada UMNO untuk terus melaksanakan pembaharuan dan pembaikan UMNO demi orang Melayu dan negara ini.
Semua kepimpinan parti itu mestu ada iltizam untuk tidak menjadikan UMNO tambatan kuasa, kekayaan dan kepentingan peribadi.
Iltizam untuk menjadikan UMNO ini parti kepada semua bangsa Melayu dan bukan hanya sebahagian elit tertentu.
Iltizam untuk tidak mengulangi lagi segala kesalahan lepas yang menghakis keyakinan bangsa dan rakyat dan iltizam untuk benar-benar menjadi suara yang sebenar kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasaan berkata, berkata, Allah telah menguji UMNO dengan kemenangan dan kekalahan dan dengan izin Allah juga, UMNO terus berkelangsungan di sebalik segala kebaikan dan kelemahan kepimpinannya.
Oleh itu, kepimpinan parti itu perlu mensyukuri segala rencana Allah untuk UMNO dengan menjadikan UMNO ini lebih baik, berwibawa dan beramanah.
”Ia adalah sang belahan jiwa yang harus dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baik penjagaan. UMNO adalah amanah dari pendiri bangsa kepada generasi penerus. Kita hanya menjadi perantara, maka jadilah kita perantara yang terbaik.
“Renunglah pesan pendirinya UMNO, Almarhum Datuk Onn Jaafar. Kita hendaklah mengesek biola dengan kuat akan lagu gesekan kita; jangan sampai orang lain mengesek dan kita hanya menari sahaja menurut lagu gesekan,” katanya penuh makna.
Beliau berkata demikian sempena ulang tahun UMNO kali ke-74.
Mohamad menambah, tiada apa yang keramat tentang UMNO tetapi yang pasti orang Melayu dan Malaysia tidak boleh hilang UMNO dalam politik.
Ini kerana, kepada orang Melayu, UMNO telah menjadi instrumen kemerdekaan, wadah pembaharuan, kerajaan yang berjasa dan gerakan kebaikan yang luar biasa.
UMNO juga telah meletakkan bangsa Melayu dalam kedudukan berkepentingan, berpengaruh dan berkesejahteraan.
Atas faktor itu, walaupun pelbagai pihak telah mentalkinkan UMNO, namun hari ini parti itu masih meraikan ulang tahunnya yang ke-74, malah menjadi sebahagian daripada kerajaan sekarang dan membentuk kerjasama politik Muafakat Nasional bersama Pas.
”Mei 2018, sewaktu UMNO tewas dalam pilihanraya umum ke 14, pelbagai pihak telah mentalkinkan UMNO. Terngiang-ngiang lagi ucapan beberapa tokoh tertentu yang mengatakan ‘UMNO telah mati’, ‘UMNO telah musnah’ dan ‘UMNO telah menemui akhirnya’,” ujarnya.
Namun, katanya, hayat UMNO dan perjalanan parti tersebut benar-benar rahsia Tuhan. – MalaysiaGazette