KOTA BHARU – Pimpinan Pas di Kelantan ‘bulat’ (sepenuhnya) menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, biarpun usul undi tidak percaya terhadap beliau akan diadakan di Parlimen.
Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, seluruh ahli Parlimen Pas di negeri ini akan tetap berdiri teguh di bawah kepimpinan Muhyiddin, dan yakin seluruh rakyat akan terus menyokong kerajaan yang ada sekarang.
“Orang yang mengetepikan kepentingan rakyat dan menonjolkan kepentingan diri di saat rakyat susah sekarang ini, rakyat akan tolak.
“Cuma bukan setakat di Parlimen Kelantan ‘bulat’, malah Pas seluruh negara pun ‘bulat’ menyokong bagi memastikan kestabilan kepimpinan kerajaan di bawah Muhyiddin,” katanya.
Usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin diterima Dewan Rakyat untuk dibawa pada mesyuarat pertama, penggal ketiga Parlimen ke 14 yang akan bersidang 18 Mei ini.
Che Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II berkata, ahli partinya dan juga pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus memberi sokongan penuh kepada Muhyiddin.
“Kalaupun berlaku undi tidak percaya, saya cukup yakin, Perdana Menteri sendiri mempunyai undi yang cukup, cuma saya ingin sebut, dalam suasana rakyat susah, dengan masalah COVID-19, usaha kerajaan bersungguh-sungguh mahu memutuskan rantaian wabak, dalam keadaan negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sepatutnya pemimpin-pemimpin utamakan rakyat.
“Mereka perlu beri tumpuan pemikiran ke arah masalah rakyat yang menghadapi COVID-19, dari segi ekonomi dan sebagainya,” katanya.
Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, proses pemilihan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang diperkenan lantikan oleh Yang Di-Pertuan Agong berpandukan perlembangaan, dan sewajarnya dihormati.
“Perdana Menteri bersungguh-sungguh mahu selesaikan masalah rakyat, tiba-tiba dalam suasana seperti ini pemimpin parti tak nampak kepentingan lain, tetapi rasa tak puas hati untuk kepentingan diri sendiri sehingga cuba nak timbulkan isu, sentimen politik, dan usaha mengagalkan kerajaan dan Perdana Menteri,” katanya. – Bernama
Cakap boleh la jari lurus kelingking berkait.