KUALA LUMPUR – Pelabur asing melupuskan sejumlah RM774.1 juta minggu lalu hampir sembilan kali ganda berbanding RM87.6 juta minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata, sehingga kini, pelabur asing telah melupuskan sebanyak RM11.08 bilion ekuiti dari Malaysia.
Malaysia adalah negara ketiga dalam aliran keluar pelabur asing dalam kalangan negara-negara Asia yang dipantau selepas Indonesia dan Filipina.
Firma penyelidikan itu berkata, hari Isnin menyaksikan aliran keluar bersih tertinggi iaitu RM319.9 juta – pelupusan terbesar dalam tempoh sehari sejak pertengahan Mac tahun ini.
Ia dipacu oleh sentimen pertikaian antara Washington dan Beijing selepas Presiden Donald Trump membayangkan akan mengenakan tarif baharu bagi barang-barang China selepas Beijing didakwa tidak telus berhubung koronavirus.
Aktiviti jualan asing lebih rendah pada hari Selasa kepada RM96.5 juta, selepas Bank Negara Malaysia mengurangkan
kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2% – paras terendah dalam tempoh 10 tahun.
Menurut MIDF Research, momentum aliran keluar asing meningkat semula pada hari Rabu kepada RM247.9 juta selepas para pelabur mengambil untung menjelang cuti umum pada hari Khamis.
Ketika pasaran dibuka pada hari Jumaat, pelabur terus menjual ekuiti tempatan tetapi pada kadar perlahan kepada RM109.8 juta.
“Dari segi penyertaan, pelabur asing adalah satu-satunya kumpulan pelabur yang mencatat penurunan mingguan dalam nilai purata dagangan harian (ADTV),” katanya.
ADTV pelabur asing menurun sebanyak 10.3% untuk minggu ini sehingga mencecah di bawah RM1 bilion kepada RM903 juta, terendah dalam tempoh 16 minggu. – MalaysiaGazette