KUALA LUMPUR – Isteri penyanyi Alif Satar iaitu Sha Dila Halid mengakui bukan mudah membesarkan tiga cahaya mata hingga dia pernah menangis disebabkan fizikal dan mentalnya terlalu letih.
Sha Dila berkongsi pengalaman itu menerusi laman Instagram miliknya sempena sambutan hari ibu yang disambut seluruh dunia kelmarin.
“Tiga orang ini. Saya harap mereka tahu sejauh mana cinta saya kepada mereka. Jadi seorang ibu adalah perkara yang paling terbaik pernah terjadi.
“Tapi saya tak boleh nafikan saya perlu berdepan dengan banyak cabaran. Tak senang nak jaga anak-anak ni. Mungkin mudah bagi sesetengah orang tapi saya akui ia bukan mudah untuk saya.
“Ada hari yang saya hanya menangis sebab sangat penat dari segi zikal dan mental. Jadi seorang yang mahukan kesempurnaan dan menjaga kebersihan bukanlah mudah dengan tiga orang anak,” tulisnya.
Alif dan Sha Dila mendirikan rumah tangga pada 15 September 2014 dan dikurniakan tiga cahaya mata Alisha Anugerah, 5, Ariana Mecca, 3, serta Muhammad Ali yang lahir pada 19 September tahun lalu.
Sementara itu, Sha Dila turut mendedahkan biarpun dia pernah terfikir ingin melelapkan mata dan melupakan tangisannya namun tidak mahu menukarkan momen tersebut dengan perkara lain.
Malah, Sha Dila juga memuji para ibu bapa yang berjaya mengharungi semua cabaran terutama dalam tempoh sukar penularan wabak Covid-19.
“Beberapa kali saya hanya mahu tidur dan abaikan saja semua tangisan itu tapi saya tidak akan pernah menukar semua ini untuk perkara lain. Tidak mahu!
“Saya bangga dengan semua ibu bapa di luar sana terutama dalam tempoh yang sukar ini, bukan selalunya waktu seronok dan bermain.
“Kita sentiasa berdepan dengan cabaran setiap hari namun kita hadapinya dengan kekuatan. Ibu bapa adalah hero sebenar buat anak-anak mereka,” katanya. – MalaysiaGazette