Home Ekonomi Hampir 260,000 majikan terima subsidi upah

Hampir 260,000 majikan terima subsidi upah

Bangunan KWSP di Jalan Raja Laut

KUALA LUMPUR – Sehingga 10 Mei, sebanyak RM2.1 bilion subsidi upah telah diluluskan bagi 258,165 majikan yang mewakili 1.9 juta pekerja.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, kerajaan berharap agar subsidi upah ini akan dapat membantu syarikat untuk terus mengekalkan seramai mungkin pekerja masing-masing sekurang-kurangnya sehingga
bulan Jun.

Ini boleh membantu mengekalkan kapasiti sedia ada, sekurang-kurangnya pada tahap 50% – agar negara bersedia untuk menyusuri gelombang pemulihan ekonomi kelak.

Bagaimanapun, katanya, jika kapasiti di tahap yang terlalu rendah, kerajaan perlu membuat peruntukan yang lebih tinggi untuk menambah kapasiti tersebut.

Untuk Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) KWSP pula, setakat 10 Mei lalu sebanyak 13,690 permohonan telah diterima dan sebanyak 2,032 permohonan telah diluluskan bernilai RM13.4 juta bagi caruman KWSP majikan.

”Saya ingin menekankan bahawa bukanlah mudah untuk memproses berpuluh-ribuan permohonan dan saya memohon sedikit kesabaran dari pihak majikan.

“KWSP dan agensi-agensi Kerajaan yang lain perlu meneliti setiap permohonan penangguhan caruman KWSP majikan secara case-by-case. Walaupun pengalaman Covid-19 ini tidak pernah kita alami, ini tidak bermakna kita boleh meluluskan apa sahaja permohonan dengan sewenang-wenangnya,” katanya ketika memberi laporan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) di sini hari ini.

Mengenai Dana Pinjaman Mudah PKS, Tengku Zafrul berkata, setakat 10 Mei, permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS adalah RM4.7 bilion dan memanfaatkan kepada 11,975c PKS.

Berhubung Geran Khas Prihatin (GKP) untuk PKS mikro pula, pendaftaran telah dibuka dari 1 hingga 15 Mei 2020 dan sehingga 10 Mei, hampir 500,000 permohonan telah diterima.

Jika semuanya diluluskan, ini akan melibatkan lebih kurang RM1.5 bilion, tambahnya.

Untuk Skim Kredit Mikro pula, Bank Simpanan Nasional telah meluluskan 2,626 permohonan bernilai RM114 juta dan
kelulusan yang diberikan Tekun sebanyak 8,562, dengan nilai RM72 juta.

Skim ini diberikan dengan kadar faedah atau keuntungan 0% yang mana jumlah keseluruhannya bernilai RM700 juta. – MalaysiaGazette