Home Utama Integriti Kerajaan DAP P.Pinang jual tanah tanpa tender terbuka dipersoal

Integriti Kerajaan DAP P.Pinang jual tanah tanpa tender terbuka dipersoal

Jason Loo

PULAU PINANG – Integriti dan ketelusan Kerajaan DAP Pulau Pinang dipersoal selepas menjual tanah milik rakyat di Lebuh Raya Peel, Georgetown di sini tanpa melalui proses tender terbuka.

Pemangku Ketua Pemuda Gerakan negeri, Jason Loo berkata, tindakan itu jelas bertentangan dengan prinsip dan amalan yang kononnya diperjuang kerajaan negeri iaitu memastikan proses tender terbuka dalam penjualan tanah bagi mengelak berlakunya rasuah.

Menurut beliau, penjualan tanah yang dikenali sebagai Pearl Avenue seluas kira-kira tiga hektar tanpa proses tender terbuka itu jelas merugikan penduduk negeri ini dan kerajaan negeri sendiri.

Ini kerana, kata beliau, tanpa proses tender terbuka, kerajaan negeri tidak dapat memilih pihak yang mungkin menawarkan harga lebih tinggi berbanding nilai RM156 juta seperti yang dipersetujui dengan Island Hospital Sdn. Bhd. sebelum ini.

“Selain itu, kita juga tertanya-tanya mengapa penjualan tanah ini yang harganya sekaki perseginya lebih tinggi (RM559) tidak perlu melalui proses tender terbuka tetapi tanah di Bayan Baru yang hanya RM240 sekaki persegi pula perlu melalui proses itu?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengesahkan tanah di Lebuh Raya Peel itu sudah dipajak secara jangka panjang bagi pembinaan hospital swasta.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pelepasan tanah itu tidak dibuat menerusi tender terbuka memandangkan syarikat berkenaan adalah pelabur bereputasi dan dianggap sebagai pelaburan daripada syarikat multinasional (MNC).

Sementara itu, Jason turut mempersoal sama ada cadangan pembinaan hospital swasta di tapak tanah berkenaan yang bernilai RM2 bilion merupakan keperluan mendesak penduduk Pulau Pinang ketika ini.

Lebih malang, kata beliau, disebabkan tanah itu sudah dilepaskan tanpa tender terbuka, penduduk negeri ini menanggung kerugian berganda kerana perjanjian tersebut sepatutnya memberi pulangan lebih lumayan.

Selain itu, beliau turut mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan mengapa tanah tersebut dipindah milik kepada Perbadanan Ketua Menteri (CMI), bukannya kepada agensi lain seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Berapa banyak sebenarnya tanah kerajaan negeri yang sudah dipindahkan kepada CMI dan berapa banyak pula yang sudah dijual?” katanya.

Menurut Jason, penjelasan Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung segala tanda tanya itu sangat mustahak sebagai keadilan kepada penduduk negeri ini sekali gus menghormati prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang kononnya diperjuangkan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette