Home Pendapat Ambil iktibar peristiwa 13 Mei

Ambil iktibar peristiwa 13 Mei

Keadaan sosial di Malaysia adalah stabil dan menggambarkan budaya toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia.

HARI ini genap 51 tahun negara ini mengalami satu detik penting yang tersimpan rapi dalam lipatan sejarah iaitu peristiwa berdarah rusuhan kaum. Peristiwa berdarah yang berlaku pada 13 Mei 1969 itu tidak boleh dilupakan begitu saja sebaliknya
wajar dijadikan iktibar oleh seluruh rakyat Malaysia terutamanya generasi hari ini.

Ironinya generasi yang lahir selepas merdeka atau golongan pasca merdeka hanya mampu membaca tentang peristiwa penting ini dalam buku sejarah di sekolah atau mendengar melalui penceritaan dari generasi lama. Ini menyebabkan generasi ini tidak dapat menghayati sepenuhnya kejadian tersebut dan juga tidak dapat memahami punca dan akibatnya.

Walaupun sudah lebih 50 tahun insiden berdarah ini berlaku, banyak sebenarnya pengajaran dan iktibar yang boleh diambil oleh generasi yang ada pada hari ini. Antara iktibar yang paling penting ialah, amalan politik perkauman yang sempit
sangat tidak berbaloi jika dibandingkan dengan kepentingan perpaduan antara kaum.

Tragedi 13 Mei menjadi manifestasi penting untuk kita sedar betapa tindakan para pemimpim politik yang mengapi-apikan provokasi politik perkauman cukup berbahaya untuk masyarakat majmuk negara ini. Apa yang dirisaukan ialah amalan ini sebenarnya masih berlarutan sehingga kini. Masih ada segelintir pemimpin politik yang mengamalkan politik perkauman sekali gus sentiasa mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat. Bagi kelompok ini cita-cita peribadi dilihat sentiasa mengatasi kepentingan rakyat dan negara. Jadi jika kita mahu terus maju ke hadapan sebagai sebuah negara yang bersatu padu, ambil iktibar dengan peristiwa 13 Mei dan hentikanlah amalan politik perkauman yang jelas mengancam perpaduan rakyat dan keselamatan negara.

Tragedi berdarah ini juga mengingatkan semua pihak agar perpaduan dalam kalangan rakyat tiada galang gantinya. Ringkasnya, konflik perkauman adalah umpama yang kalah jadi abu dan yang menang menjadi arang. Justeru, sebagai masyarakat majmuk kita tidak mempunyai banyak pilihan selain sentiasa berpaut erat kepada jambatan perpaduan yang telah diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu. Kegagalan kita menghayati kepentingan perpaduan antara kaum boleh
menyebabkan peristiwa seperti ini berulang kembali.

Anggota masyarakat juga perlu sentiasa beringat agar jangan sesekali menyentuh isu-isu sensitif dan mempertikai hak setiap kaum terutamanya hak keistimewaan orang Melayu seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan
dengan jelas memperincikan hak setiap kaum jadi jangan sewenang-wenangnya kita mempersoal apa yang telah dipersetujui oleh para pengasas negara ini. Misalnya, tindakan sesetengah pihak yang secara berterusan dan terang-terangan mempertikai hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu serta Raja-raja Melayu tidak sepatutnya berlaku lagi. Sedarlah tindakan seperti ini boleh mencetuskan perbalahan antara kaum.

Dalam konteks ini, kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh generasi terdahulu perlu terus dipertahankan. Generasi hari ini perlu ambil iktibar betapa aspek persefahaman, penerimaan, pengorbanan dan tolak ansur setiap kaum yang ada di negara ini telah menjadi asas kepada pembentukan kontrak sosial yang kemudiannya menjadi faktor penting pencapaian kemerdekaan negara ini pada 1957. Justeru adalah menjadi tanggungjawab kita untuk terus mempertahankan kontrak sosial ini yang telah dipersetujui oleh bapa-bapa kemerdekaan seperti, Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T Sambanthan. Janganlah kita sia-siakan segala jasa, usaha dan pengorbanan mereka.

Selepas merdeka dan setelah melalui detik berdarah pada 1969, kita berjaya bangkit dan membina rakyat dan negara ini. Hasilnya pada hari ini kita dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas dunia bersama-sama dengan negara lain.
Namun harus diingat segala kejayaan ini termasuklah kebebasan dan kemerdekaan ini bukanlah sesuatu yang tetap dan kekal. Kita boleh menjadi negara mundur dan dijajah semula dalam sekelip mata andai kita leka, alpa dan gagal untuk ambil iktibar. Tuntasnya, merdeka sekali tidak bermaksud akan kekal merdeka selamanya, sebaliknya kita perlu sentiasa berusaha untuk mempertahankannya. Jadi berpegang eratlah kepada tali silaturrahim antara kaum yang ada.

Sebagai sebuah negara yang sedang membangun dengan pesat dan menuju cita-cita menjadi negara maju, tragedi pahit seperti penjajahan oleh kuasa luar lebih dari 400 tahun serta peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969 perlu terus dijadikan iktibar dan
pengajaran. Adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk terus mempertahankan kemerdekaan dan jambatan perpaduan yang ada dengan berpaksikan pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Jika gagal, tidak mustahil negara ini kembali dijajah atau peristiwa 13 Mei berulang semula. Sama-samalah kita berdoa agar rakyat dan negara ini terus dijauhi dari segala jenis ancaman baik dari anasir dalam mahupun luar.

Noor Mohamad Bin Shakil Hameed

 

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia