Home Nasional PKPB: 446 amaran, 8,967 nasihat dikeluarkan Polis Selangor 

PKPB: 446 amaran, 8,967 nasihat dikeluarkan Polis Selangor 

Muhammad Yazid Muhammad Yew
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew. foto AFIQ RAZALI, 13 APRIL 2020

SHAH ALAM – Sebanyak 446 amaran dan 8,967 nasihat telah dikeluarkan Polis Kontinjen Selangor bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) fasa pertama yang berakhir semalam.

Jurucakapnya, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, amaran yang dikeluarkan itu menunjukkan peningkatan lima kali ganda berbanding hari kelima pelaksanaan PKPB.

“Sebanyak 446 amaran dan 8,967 nasihat telah diberikan bagi tempoh semalam (12 Mei 2020) sahaja, nampak ada peningkatan daripada jumlah amaran dan nasihat berbanding tempoh seminggu lalu.

“Ini menunjukkan bahawa orang ramai didapati masih belum menyesuaikan dengan kelaziman baharu, sebab itu beberapa amaran telah dikeluarkan dalam tempoh pemantauan kita buat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Muhammad Yazid berkata, sepanjang pelaksanaan PKPB fasa pertama, sebanyak 10 lokasi sekatan jalan raya diadakan sehingga 12 Mei 2020.

“Sepanjang operasi SJR, jumlah pemeriksaan di sekaran jalan raya adalah 11,702 jumlah pemeriksaan kenderaan dan 45 kenderaan diarah patah balik, tapi tiada tangkapan dibuat,” katanya.

Manakala bagi operasi pematuhan PKPB setakat semalam, sebanyak 6,153 orang pemeriksaan telah dilakukan Polis Kontinjen Selangor.

“Pemeriksaan operasi pematuhan masih diteruskan dan dipertingkatkan bagi memastikan orang ramai memahami serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Pemeriksaan dibuat di lokasi tumpuan awam seperti Premis seperti pasaraya, restoran, kilang, bank, dan premis kerajaan dan lain-lain adalah sebanyak 2,598 orang, bagi terminal darat, air dan udara pula 166 orang.

“Sebanyak 2,790 pemeriksaan dilakukan melibatkan kenderaan persendirian dan awam, pemeriksaan di pasar awam pula membabitkan 170 orang, tempat ibadat sebanyak 293 orang, tempat riadah sebanyak 83 orang dan tapak binaan sebanyak 51 orang,” katanya. – MalaysiaGazette