KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melancarkan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dan sederhana dalam tempoh terdekat untuk menjana semula pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, perancangan tersebut termasuk melaksanakan garis panduan kesihatan dan kaedah operasi selamat di dalam norma baharu, pembangunan kapasiti, pengambilan pekerja dan penjanaan pekerjaan, meningkatkan perbelanjaan pengguna dan menyokong penyusunan semula, pemulihan dan pertumbuhan PKS.
Selain itu membangunkan ketahanan dan peluang pertumbuhan bagi syarikat-syarikat bersaiz sederhana dan besar serta
meningkatkan keyakinan pelabur dan menjana pertumbuhan ekonomi jangka pendek.
Menurutnya, kerajaan yakin Malaysia mampu berada dalam persiapan yang kukuh untuk menghadapi keadaan ekonomi global yang semakin mencabar ini dengan dengan langkah-langkah yang akan dimaklumkan nanti.
”Usaha pemulihan ekonomi negara dijangka mengambil masa. Walaupun ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih perlahan pada tahun 2020, namun pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2021 adalah diunjurkan lebih baik.
“Ia berdasarkan langkah-langkah pemulihan ekonomi dalam negeri dan ekonomi global di masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau mengulas mengenai prestasi pertumbuhan negara 0.7% pada suku pertama tahun ini ekoran persekitaran ekonomi dan perdagangan global yang semakin mencabar disebabkan pandemik Covid-19.
Pada masa ini kerajaan telahpun melaksanakan strateginya daripada enam pendekatan iaitu ketegasan dalam mengawal Covid-19 melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, membina ketahanan melalui pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bernilai RM260 bilion demi kelangsungan rakyat dan ekonomi, menjana semula ekonomi secara teratur dan terkawal dan melaksanakan strategi pemulihan ekonomi melalui pelan jangka masa pendek dan sederhana.
Turut dilaksanakan memperkasa ekonomi secara menyeluruh dan ,nyusun semula struktur ekonomi untuk negara melangkah ke era norma baharu.
Malaysia berada di tahap ketiga. Pakej Rangsangan ekonomi Prihatin bernilai RM260 bilion serta dasar monetari yang akomodatif telah membantu melegakan kekangan ekonomi yang dialami sejak beberapa bulan yang lalu.
Perkembangan ekonomi seterusnya perlu diimbangi dengan kepentingan kesihatan awam dan penjanaan semula ekonomi yang teratur dan selamat, ujarnya. – MalaysiaGazette