Home Nasional PDRM sedia ikut SOP KKM tutup premis dijangkiti Covid-19

PDRM sedia ikut SOP KKM tutup premis dijangkiti Covid-19

Muhammad Yazid Muhammad Yew
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew. foto AFIQ RAZALI, 13 APRIL 2020

SHAH ALAM – Polis Selangor sedia mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menutup mana-mana premis yang dijangkiti Covid-19.

Jurucakap Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada keperluan dan garis panduan KKM.

“Penutupan ini (premis dijangkiti Covid-19) perlu semak dengan KKM, pihak polis hanya mengikut apa saja saranan pihak KKM berkenaan dengan pelaksanaan penutupan satu-satu tempat tersebut.

“Minta semak dengan KKM sama ada SOP tersebut SOP standard ataupun tidak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Beliau mengulas laporan satu media semalam bahawa tiga petak gerai di Pasar Awam Sekinchan ditutup bermula semalam berikutan seorang peniaga di pasar itu disahkan positif Covid-19.

Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam, Mohd Faizul Fitri Muslil berkata, tiga petak gerai pasar itu ditutup sementara sehingga tahap kesihatan peniaga yang dijangkiti wabak itu kembali pulih.

Menurut Mohd Faizul, peniaga terbabit didapati positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan tekak pada 5 Mei lalu. – MalaysiaGazette