KUALA LUMPUR – Sejumlah 166,000 kekosongan jawatan direkodkan dalam sektor swasta pada suku pertama 2020, berkurangan sebanyak 35,000 berbanding setahun yang lalu.
Namun, pada suku pertama 2020, kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan pandemik Covid-19 terhadap situasi pasaran buruh masih belum dapat dilihat sepenuhnya berikutan pelaksanaan PKP hanya mulai dua minggu terakhir bulan Mac 2020.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar kekosongan bagi suku ini jatuh di bawah 2 peratus kepada 1.9% selepas mencatat 2.3% pada suku keempat 2019.
Penurunan kekosongan jawatan ini disebabkan langkah berhati-hati oleh industri susulan prestasi ekonomi negara yang lebih perlahan.
Sebahagian besar kekosongan jawatan adalah dalam kategori separuh mahir dengan 52.3% manakala kategori mahir mewakili 25.7%.
Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), telah mengeluarkan statistik pengangguran bagi Mac 2020
yang mana penganggur meningkat sebanyak 17.1 peratus kepada 610,500 dengan kadar 3.9%.
Status permintaan dan penawaran buruh pada suku tersebut memberi isyarat awal ketidakseimbangan dalam pasaran buruh.
Buat pertama kalinya, kadar jawatan diisi mencapai 98.1% selepas secara konsisten merekodkan kadar antara 97.1 peratus hingga 97.7 peratus, diterjemahkan kepada 8.4 juta pekerjaan pada suku ini.
Bagaimanapun, peningkatan 51,000 jawatan diisi pada suku ini adalah lebih rendah berbanding peningkatan tahunan pada tempoh suku tahunan 2019 dalam lingkungan 83,000 hingga 128,000.
Menurutnya, peningkatan kecil jawatan diisi direkodkan dalam kedua-dua kategori mahir dan separuh mahir manakala kategori berkemahiran rendah mencatatkan penurunan.
Melihat kepada pecahan jawatan diisi mengikut kategori kemahiran, 24.3% adalah dalam kategori mahir meliputi pengurus, profesional dan juruteknik dan profesional bersekutu.
Manakala jawatan diisi dalam kategori separuh mahir merangkumi 62.6% yang terdiri daripada Pekerja sokongan perkeranian, pekerja perkhidmatan dan jualan, pekerja mahir pertanian, pekerja kemahiran dan pekerja pertukangan yang berkaitan dan operator mesin, loji dan pemasang.
Bagi kategori berkemahiran rendah iaitu pekerja asas terdiri daripada 13.1%.
Secara keseluruhan, bilangan jawatan dalam sektor swasta yang merangkumi jawatan diisi dan kekosongan naik sebanyak 18,000 kepada 8.6 juta pada suku pertama 2020.
Berikutan pertumbuhan jawatan diisi yang lebih perlahan dan penurunan kekosongan jawatan, bilangan jawatan pada suku ini tumbuh secara marginal berbanding empat suku terdahulu pada 2019.
Di sebalik momentum ekonomi yang lebih perlahan pada suku ini, terdapat sebanyak 19 ribu pewujudan jawatan.
Walau bagaimanapun, bilangan pewujudan jawatan turun sebanyak 4,000 kepada 23,000 berbanding suku yang sama tahun terdahulu.
Didapati juga pewujudan jawatan baharu sebahagian besarnya adalah pada dua bulan pertama 2020.
Dari segi kategori kemahiran, 48.3% adalah jawatan mahir manakala 45.7% lagi dalam kategori separuh mahir manakala kategori kemahiran, bilangan jawatan mahir mencatat 2.1 juta dengan jawatan diisi merangkumi 98% manakala kadar kekosongan adalah 2%.
Sementara itu, terdapat sebanyak 5.3 juta jawatan separuh mahir yang mana kadar jawatan diisi adalah 98.4% manakala kadar kekosongan 1.6%.
Sejumlah 1.1 juta jawatan adalah dalam kategori berkemahiran rendah, dengan kadar 96.8% jawatan diisi dan kekosongan 3.2%.
Mohd Uzir berkata, secara keseluruhannya, suku pertama 2020 menyaksikan permintaan buruh lebih perlahan berikutan penularan pandemik Covid-19 dan tindak balas kerajaan dalam mengawalnya.
Dianggarkan pasaran buruh negara akan terus perlahan pada suku kedua 2020 susulan pelanjutan fasa PKP sehingga 3 Mei 2020, diikuti PKP Bersyarat sehingga 9 Jun 2020.
Selain itu, permintaan global yang lebih perlahan akan memberi tekanan kepada pasaran buruh dengan pengurangan permintaan buruh terutamanya dalam industri berkaitan perdagangan antarabangsa dan pelancongan. – MalaysiaGazette