KUALA LUMPUR – Kerajaan Arab Saudi bermurah hati menyumbangkan peralatan perubatan kepada Malaysia bagi membantu Kementerian Kesihatan negara ini menangani penularan wabak Covid-19
Kesemua peralatan perubatan ini akan disalurkan melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, secara keseluruhan, Kerajaan Arab Saudi menyumbang sebanyak 7,542,170 unit peralatan perubatan.
”Buat masa ini, 1,000,000 unit N95 Face Masks telah sampai ke Malaysia dan telah diserahkan kepada KKM. Lain-lain peralatan perubatan akan sampai ke Malaysia secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Hishammuddin, perkenan Baginda Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan kesanggupan Kerajaan Arab Saudi membantu Malaysia membuktikan keakraban hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi.
”Bagi pihak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia, saya amat berterima kasih kepada Raja Arab Saudi, Baginda Raja Salman Abdulaziz Al Saud; Putera Mahkota merangkap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Yang Teramat Mulia Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud; Menteri Luar Arab Saudi, Yang Mulia Putera Faisal bin Farhan Al Saud; dan seluruh kepimpinan tertinggi Kerajaan Arab Saudi,” ujarnya. – MalaysiaGazette